Adakah psikosis yang baru bermula paling baik dirawat oleh pasukan pakar kesihatan mental?

Apa itu psikosis?

Psikosis menghuraikan keadaan yang menjejaskan minda, di mana orang mempunyai masalah untuk membezakan realiti dan bukan realiti. Ini mungkin melibatkan melihat atau mendengar perkara yang tidak dapat dilihat atau didengar oleh orang lain (halusinasi), atau mempercayai perkara yang tidak benar (khayalan). Gabungan halusinasi dan pemikiran khayalan boleh menyebabkan kesusahan teruk dan perubahan tingkah laku. Psikosis episod pertama adalah kali pertama seseorang mengalami episod psikosis. Psikosis yang baru bermula adalah beberapa tahun pertama penyakit ini setelah seseorang mengalaminya untuk kali pertama.

Psikosis boleh diubati

Ramai orang pulih daripada episod pertama dan tidak pernah mengalami episod psikotik yang lain.

Profesional kesihatan mental menilai seseorang sebelum mengesyorkan rawatan tertentu. Bergantung pada perkhidmatan yang tersedia, mereka mungkin menghantar orang untuk rawatan dengan:

- pasukan kesihatan mental komuniti: profesional kesihatan mental yang memberi sokongan kepada orang dengan keadaan kesihatan mental yang kompleks;

- pasukan penyelesaian krisis: profesional kesihatan mental yang merawat orang yang memerlukan rawatan di hospital; atau

- pasukan intervensi awal: profesional kesihatan mental yang bekerja dengan orang yang sedang atau baru mengalami episod pertama psikosis mereka.

Pasukan intervensi awal mengkhusus dalam rawatan psikosis yang baru bermula, dan bertujuan untuk merawat psikosis dengan secepat dan seintensif yang mungkin.

Mengapa kami melakukan Ulasan Cochrane ini

Kami ingin mengetahui sama ada pasukan intervensi awal khusus lebih berjaya dalam merawat psikosis yang baru bermula berbanding dengan pasukan kesihatan mental pesakit luar atau komuniti yang tidak mengkhusus dalam merawatnya.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menyiasat penggunaan pasukan intervensi awal untuk merawat psikosis yang baru bermula berbanding dengan penjagaan piawai kesihatan mental komuniti.

Kami mencari kajian rawak terkawal, di mana rawatan yang diterima orang adalah ditentukan secara rawak. Kajian jenis ini memberikan bukti yang paling dipercayai mengenai kesan rawatan.

Kami ingin mengetahui, pada akhir rawatan:

- berapa ramai orang yang pulih;

- berapa ramai orang yang menghentikan rawatan mereka terlalu awal;

- berapa ramai orang yang dimasukkan ke hospital psikiatri, dan untuk berapa lama;

- keadaan kesihatan mental dan fungsi umum mereka (seberapa baik mereka menjalani kehidupan seharian); dan

- berapa ramai orang yang meninggal dunia.

Tarikh carian: kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga 22 Oktober 2019.

Apa yang kami temui?

Kami menemui empat kajian melibatkan 1145 orang (65% lelaki; purata usia 23 hingga 26 tahun) dengan psikosis yang baru bermula. Kajian-kajian ini membandingkan rawatan oleh pasukan intervensi awal khusus dengan 'rawatan biasa' (rawatan oleh pasukan kesihatan komuniti atau pasukan kesihatan mental pesakit luar).

Kajian-kajian dilakukan dalam perkhidmatan kesihatan mental komuniti di negara-negara berpendapatan tinggi: Denmark, Sweden, UK dan AS. Kajian-kajian tersebut berlangsung selama 18 hingga 24 bulan.

Apakah keputusan ulasan kami?

Berbanding dengan rawatan biasa, rawatan oleh pasukan intervensi awal:

-mungkin membantu lebih ramai orang pulih dari psikosis (2 kajian; 194 orang);

- mungkin mengurangkan jumlah orang yang menghentikan rawatan mereka terlalu awal (3 kajian; 630 orang);

- mungkin mengurangkan bilangan orang yang dimasukkan ke hospital psikiatri (4 kajian; 1145 orang)

- mungkin mengurangkan masa yang diluangkan di hospital psikiatri (1 kajian; 547 orang); dan

- mungkin meningkatkan fungsi umum orang secara sederhana (2 kajian; 467 orang).

Kami tidak pasti sama ada rawatan oleh pasukan intervensi awal mempengaruhi gejala psikotik umum (2 kajian; 304 orang), atau kesannya terhadap bilangan orang yang meninggal dunia (3 kajian; 741 orang).

Sejauh mana keputusan ini boleh dipercayai?

Kami cukup yakin bahawa rawatan oleh pasukan intervensi awal mungkin mengurangkan bilangan orang yang menghentikan rawatan terlalu awal, walaupun keputusan ini mungkin berubah apabila wujudnya lebih banyak bukti yang sedia ada.

Kami kurang yakin terhadap jumlah orang yang pulih dari psikosis, atau dimasukkan ke hospital psikiatri, jangka masa mereka tinggal di hospital, dan apa-apa peningkatan dalam fungsi umum seseorang. Keputusan ini berkemungkinan akan ubah sekiranya bukti lebih lanjut tersedia.

Mesej utama

Penggunaan pasukan intervensi awal khusus untuk merawat psikosis yang baru bermula berkemungkinan akan membawa faedah, seperti lebih ramai orang yang meneruskan rawatan mereka, dan peningkatan jumlah orang yang sembuh.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information