Manfaat dan risiko pembersihan telinga bagi orang yang mempunyai otitis media supuratif kronik (jangkitan telinga berterusan atau berulang dengan discaj nanah)

Mengapakah hal ini penting

Otitis media supuratif kronik (CSOM), juga dikenali sebagai otitis media kronik (COM), adalah keradangan dan jangkitan pada telinga tengah yang berlangsung selama dua minggu atau lebih. Mereka yang menghidap CSOM biasanya mengalami discaj telinga yang berulang atau berterusan - nanah yang keluar dari lubang di gegendang telinga - dan kehilangan pendengaran.

Pendekatan yang berbeza boleh digunakan untuk membersihkan telinga yang terkesan dan membuang discaj. Ini termasuk:

- menggunakan bulu kapas atau kertas tisu (lap kering);
- menyedut bahan yang menyekat telinga dengan alat kecil (biasanya dilakukan di bawah mikroskop); atau
- mencuci telinga (pengairan).

Untuk mengetahui setakat mana keberkesanan pembersihan telinga dalam kalangan mereka yang menghidap CSOM, dan sama ada ia menyebabkan kesan-kesan yang tidak diingini, kami mengulas bukti dari kajian-kajian penyelidikan. Khususnya, kami ingin mengetahui sama ada pembersihan telinga menghentikan discaj telinga, dan apakah ia mempengaruhi kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, atau pendengaran. Kami juga ingin mengetahui sama ada ianya menyebabkan kesakitan, ketidakselesaan atau kerengsaan dalam telinga, kesan yang tidak diingini seperti pening atau pendarahan telinga, atau sebarang komplikasi serius.

Bagaimana kami mengenal pasti dan menilai bukti

Pertama, kami mencari semua kajian yang relevan dalam penulisan perubatan. Kami kemudiannya membandingkan hasil-hasilnya, dan merumuskan bukti dari semua kajian. Akhirnya, kami menilai kepastian bukti tersebut. Kami mempertimbangkan faktor-faktor seperti cara kajian dijalankan, saiz kajian, dan konsistensi penemuan antara kajian-kajian. Berdasarkan penilaian kami, kami mengkategorikan bukti sebagai berkepastian yang sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.

Apa yang kami temui

Kami menemui tiga kajian melibatkan 431 orang dengan CSOM. Mereka diikuti selama antara enam minggu dan enam bulan selepas rawatan.

Kajian-kajian tersebut membandingkan:

- pengelapan kering harian berbanding tanpa rawatan (dua kajian, 351 orang);
- sedutan harian digabungkan dengan titisan telinga antibiotik yang diberikan di klinik, berbanding dengan satu sedutan sahaja (di klinik) diikuti dengan titisan telinga antibiotik harian secara sendiri (satu kajian, 80 orang).

Pengelapan kering harian berbanding tanpa rawatan

- Kami tidak tahu sama ada pengelapan kering menghentikan discaj telinga, kerana bukti sama ada mereka mengalami discaj selepas empat minggu mempunyai kepastian yang sangat rendah, dan tiada kajian yang menilai kehadiran discaj lebih awal.

- Satu kajian melaporkan komplikasi serius, tetapi ianya tidak jelas sama ada mereka yang melaporkan komplikasi tersebut telah dibersihkan telinga mereka dengan pengelapan kering atau tidak, atau sama ada komplikasi tersebut terjadi sebelum atau sesudah rawatan. Oleh itu, kami tidak dapat mengetahui sama ada pengelapan kering menyebabkan komplikasi serius, atau sekerap manakah perkara ini berlaku.

- Satu kajian menilai pendengaran, tetapi tidak melaporkan hasilnya dengan cara yang dapat memberitahu kami sama ada pengelapan kering mempengaruhi pendengaran atau tidak.

- Tidak ada kajian yang menyelidik kesan pengelapan kering terhadap kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, sakit telinga, pening atau pendarahan telinga.

Penyedutan harian dibandingkan dengan satu kali sedutan sahaja, tambahan kepada titisan telinga antibiotik

- Kami tidak tahu sama ada penyedutan menghentikan discaj telinga, kerana bukti bagi tempoh antara satu hingga dua minggu selepas rawatan mempunyai kepastian yang sangat rendah, dan hasil untuk discaj setelah empat minggu tidak dapat ditafsirkan.

- Kami tidak tahu sama ada penyedutan mempengaruhi pendengaran atau pening, kerana kepastian buktinya adalah sangat rendah.

- Tidak ada kajian yang menyelidik kesan pengelapan kering terhadap kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, sakit telinga, pening atau pendarahan telinga.

Apakah maksudnya

Kami tidak tahu sejauh mana keberkesanan pembersihan telinga bagi orang yang menghidap CSOM, dan sama ada ia menyebabkan kesan yang tidak diingini. Terdapat hanya sedikit kajian dalam bidang ini, dan kajian ini memberikan bukti kepastian yang sangat rendah. Kesan buruk tidak dilaporkan dengan baik dalam kajian-kajian yang kami temui. Kami memerlukan penyelidik untuk melakukan kajian pada masa depan yang membandingkan pembersihan telinga dengan tanpa pembersihan, dan membandingkan teknik dan frekuensi pembersihan yang berbeza, supaya kami dapat menilai manfaat dan risiko pembersihan telinga bagi orang dengan CSOM.

Seberapa terkinikah ulasan ini?

Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga Mac 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Sultan Zainal Abidin). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information