Ubat-ubatan untuk mengendalikan kesakitan dan ketidakselesaan pada bayi pramatang yang dibantu dengan mesin pernafasan dan berisiko pendarahan otak

Soalan gambaran keseluruhan

Adakah ubat tahan sakit dapat mengurangkan pendarahan otak dan kematian serta meningkatkan perkembangan jangka panjang pada bayi yang dilahirkan terlalu awal (bayi pramatang) yang memerlukan bantuan pernafasan mekanikal?

Latar belakang

Bayi pramatang, terutamanya bayi yang dilahirkan sebelum lengkap 28 minggu kehamilan, kadangkala mengalami pendarahan otak. Bayi dengan pendarahan yang kurang parah berkemungkinan pulih sepenuhnya atau hanya mengalami masalah ringan di kemudian hari. Bayi dengan pendarahan yang lebih parah kemungkinan meninggal dunia atau mengalami masalah pada kemudian hari. Kini, tiada pendekatan untuk mencegah atau merawat pendarahan otak.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari ulasan Cochrane yang menyiasat ubat tahan sakit bagi mencegah pendarahan otak pada bayi pramatang. Kami menilai kualiti ulasan dan meringkaskan keputusan mereka, dengan itu membawa semua bukti relevan semasa tentang rawatan ke satu tempat.

Apa yang kami temui?

Kami menyertakan tujuh ulasan Cochrane dan satu protokol (pelan) untuk satu ulasan Cochrane. Dua ulasan menyertakan kajian di luar bidang minat kami; contohnya, mereka memberi tumpuan kepada bayi yang dilahirkan secara normal pada akhir kehamilan, atau bayi yang tidak memerlukan mesin pernafasan. Lima ulasan lain menyiasat ubat-ubatan ini: parasetamol (3 kajian), midazolam (3 kajian), fenobarbital (9 kajian), opioid (20 kajian), dan ibuprofen (5 kajian).

Keputusan utama

• Pendarahan otak yang kurang teruk

Kami sederhana yakin dengan bukti untuk ibuprofen, yang berkemungkinan tidak menghasilkan perbezaan penting dalam jumlah pendarahan otak berbanding plasebo (ubat tidak aktif atau ‘dummy’) (julat dari pengurangan 19% kepada peningkatan 21%). Kami tidak yakin dengan bukti untuk: morfin berbanding dengan diamorfina; ubat lain berbanding dengan plasebo. Tiada kajian menyiasat perbandingan lain antara dua ubat berbeza yang melihat kepada hasil ini.

• Pendarahan otak yang teruk

Kami tidak yakin dengan bukti parasetamol, fenobarbital, opioid, dan ibuprofen berbanding plasebo. Begitu juga, kami tidak yakin dengan bukti untuk parasetamol berbanding ibuprofen; morfin berbanding midazolam dan fentanyl. Tiada kajian mengenai midazolam berbanding plasebo dan morfin dengan diamorfina yang melaporkan pendarahan otak yang teruk.

• Kematian (dari sebarang sebab) pada 28 hari hayat

Kami sederhana yakin pada bukti untuk opioid, yang berkemungkinan tidak menghasilkan perbezaan penting berbanding plasebo (dari pengurangan 20% kepada peningkatan 55%). Kami tidak yakin dengan bukti untuk: fenobarbital dan ibuprofen berbanding plasebo; morfin berbanding midazolam dan diamorfina. Tiada kajian tentang parasetamol dan midazolam berbanding dengan plasebo, parasetamol berbanding ibuprofen, dan morfin berbanding fentanyl melaporkan kematian (dari sebarang sebab) pada 28 hari hayat.

• Perkembangan jangka panjang

Kami tidak yakin dengan bukti untuk opioid berbanding dengan plasebo pada perkembangan jangka panjang bayi pada 18 hingga 24 bulan serta pada umur lima hingga enam tahun. Tiada kajian lain melihat kepada perkembangan jangka panjang.

Kami menjumpai satu protokol ulasan Cochrane mengenai dexmedetomidine, satu ubat untuk menguruskan kesakitan dan membantu bayi berehat. Kami merancang untuk memasukkan bukti daripada ulasan ini apabila ia diterbitkan.

Apakah batasan bukti?

Kami sederhana yakin dengan bukti ibuprofen mengenai pendarahan otak yang kurang teruk dan opioid mengenai kematian (dari sebarang sebab) berbanding plasebo. Kami tidak yakin dengan bukti untuk perbandingan dan hasil lain. Kajian sama ada tidak melaporkan maklumat yang boleh kami gunakan atau menghasilkan penemuan di mana kami mempunyai sedikit keyakinan. Kajian adalah kecil dan menggunakan kaedah yang cenderung untuk memperkenalkan kesalahan dalam keputusannya.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Abdul Rauf Badrul Hisham (Universiti Teknologi MARA). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information