Alat pendengaran bilateral (dua) berbanding unilateral (satu) untuk gangguan pendengaran bilateral dalam kalangan orang dewasa

Soalan ulasan

Adakah pesakit dewasa dengan kehilangan pendengaran bilateral (dua belah) patut dipasang dengan satu atau dua alat pendengaran?

Latar belakang

Hilang pendengaran boleh hadir dari masa lahir atau boleh berlaku di kemudian hari. Yang terkemudian ini dipanggil hilang pendengaran perolehan dan adalah lazim. Insidennya meningkat secara ketara dengan usia. Dalam kebanyakan orang, hilang pendengaran yang berkait dengan usia adalah akibat kehilangan sel-sel di telinga dalam (yang disebut hilang pendengaran sensorineural) dan mempengaruhi kedua-dua telinga pada tahap yang sama. Kehilangan pendengaran dikategorikan sebagai ringan, sederhana atau teruk terutamanya diurus dengan alat pendengaran. Orang dengan kehilangan pendengaran bilateral boleh ditawarkan satu bantuan, yang dipasang pada satu telinga khusus, atau dua alat yang dipasang pada kedua-dua telinga. Terdapat manfaat relatif yang tidak pasti bagi para pesakit untuk strategi-strategi yang berbeza.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan empat kajian dengan jumlah 209 pesakit, berumur di antara 23 hingga 85 tahun dan lebih banyak lelaki berbanding wanita. Semua kajian membenarkan penggunaan alat pendengaran selama tempoh sekurang-kurangnya lapan minggu sebelum soalan ditanya mengenai pilihan mereka untuk satu atau dua alat pendengaran. Dalam kesemua kajian, pesakit mengalami kehilangan pendengaran bilateral tetapi terdapat banyak variasi dalam jenis hilang pendengaran yang mereka alami dan keterukan pendengaran mereka.

Tiga kajian telah diterbitkan sebelum pertengahan 1990an dan kajian keempat diterbitkan pada 2011. Oleh itu, hanya kajian terbaru menggunakan alat pendengaran 'moden' yang serupa dengan yang terdapat di banyak negara berpendapatan tinggi. Daripada empat kajian itu, dua telah dijalankan dalam kalangan pesakit di Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS – sektor awam) di UK. Satu kajian melihat pesakit dari penjagaan primer yang mana kehilangan pendengaran mereka dikenal pasti melalui program saringan. Kajian lain melihat pesakit yang mana pengamal penjagaan primer menganggap mereka mungkin mendapat manfaat dari alat pendengaran, oleh itu telah merujuk mereka ke jabatan ENT tempatan untuk mendapatkannya. Dua lagi kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat: satu kajian hanya merekrut orang yang menjalankan tugas ketenteraan aktif, atau yang telah berkhidmat di bahagian ketenteraan dan mengalami kehilangan pendengaran kerana terdedah kepada bunyi-bunyi yang kuat. Kira-kira separuh daripada orang dalam kajian yang satu lagi adalah bekas tentera.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Hanya satu hasil yang kami fikir paling penting - keutamaan pesakit - dilaporkan dalam semua kajian. Peratusan pesakit yang memilih dua atau satu alat pendengaran adalah berbeza di antara kajian: masing-masing 54% (51 dari 94), 39% (22 daripada 56), 55% (16 dari 29) dan 77% (23 daripada 30). Kami tidak menggabungkan angka-angka dari keempat-empat kajian ini kerana ia bukan cara yang betul. Kami menilai kualiti bukti untuk hasil ini sebagaisangat rendahpada skala tinggi – sederhana – rendah – sangat rendah Tiada maklumat dalam keempat-empat kajian mengenai hasil lain yang kami berminat.

Kesimpulan

Ulasan ini mengenal pasti hanya empat kajian yang membandingkan penggunaan satu dengan dua alat pendengaran. Kajian-kajian adalah kecil dan orang-orang yang terlibat adalah berbeza umur. Terdapat juga variasi yang besar dalam jenis ketulian dan berapa tuli mereka.

Untuk sebahagian besarnya, jenis alat pendengaran yang dinilai dianggap 'teknologi lama' di negara berpendapatan tinggi, dengan hanya satu kajian yang melihat alat digital 'moden'. Walau bagaimanapun, kami tidak tahu sama ada ini relevan atau tidak. Ulasan ini tidak melihat perbezaan di antara jenis alat pendengaran yang 'lama' dan 'baru'.

Kami tidak boleh menggabungkan angka-angka dari keempat-empat kajian. Secara keseluruhannya, fakta ini dan kualiti bukti yang sangat rendah menyebabkan kami menyimpulkan bahawa kami tidak tahu sama ada pesakit mempunyai pilihan untuk satu atau dua alat pendengaran. Begitu juga, kami tidak tahu sama ada kualiti hidup pesakit adalah lebih baik dengan satu atau dua alat bantuan pendengaran.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save