Masa yang diluangkan dalam pemulihan dan kesan terhadap ukuran aktiviti selepas strok

Soalan ulasan
Adakah lebih banyak masa yang diluangkan dalam pemulihan meningkatkan aktiviti? Apa yang penting? Adakah jumlah masa yang diluangkan dalam pemulihan penting, atau adakah cara pemulihan disampaikan (jadual)? Adakah, sebagai contoh, jumlah masa yang diluangkan setiap minggu? Atau kekerapan sesi?

Latar belakang
Pemulihan strok membantu orang yang mengalami strok untuk pulih dan meneruskan aktiviti mereka. Negara yang berbeza mempunyai garis panduan yang berbeza tentang jumlah terapi yang perlu mereka terima. Di England, sekurang-kurangnya 45 minit setiap terapi yang sesuai, setiap hari adalah disyorkan. Di Kanada, garis panduan mengesyorkan lebih banyak – tiga jam latihan tugas-khusus, lima hari seminggu. Penyelidikan terdahulu tidak menemui bukti jelas yang memihak kepada satu pendekatan atau yang lain: kesan jumlah masa yang diluangkan dalam pemulihan, atau jadual yang digunakan untuk menyampaikannya. Pengesyoran Bahasa Inggeris selama 45 minit adalah berdasarkan keputusan kajian yang membandingkan jenis pemulihan yang berbeza serta jumlah yang berbeza bagi jenis pemulihan yang sama – yang mana bukan perkara yang sama. Itulah sebabnya ulasan kami hanya membandingkan jumlah yang berbeza bagi jenis pemulihan strok yang sama.

Ciri-ciri kajian
Kami memasukkan 21 kajian berjumlah 1412 orang dengan strok. Setiap kajian membandingkan kumpulan orang yang telah menerima jumlah yang berbeza daripada jenis pemulihan yang sama. Jenis pemulihan yang berbeza telah dimasukkan, tetapi perbandingan dalam setiap kajian sentiasa melibatkan jumlah yang berbeza sahaja daripada jenis yang sama. Kami memasukkan pemulihan lengan, kaki, berjalan, dan pemulihan am. Dalam 16 kajian, peserta berada dalam enam bulan pertama selepas strok. Dalam baki lima kajian, peserta adalah lebih daripada enam bulan selepas strok.

Tarikh pencarian
Kami mencari kajian-kajian sehingga Jun 2021.

Keputusan utama
Kami mendapati bahawa, untuk ukuran aktiviti melibatkan kehidupan seharian (cth membasuh dan berpakaian), ukursan aktiviti lengan (cth mengambil barang), dan ukuran aktiviti kaki (cth berjalan) tidak ada kemudaratan atau manfaat untuk kumpulan yang menerima lebih banyak pemulihan berbanding kumpulan yang menerima kurang. Untuk ukuran pergerakan lengan dan kaki (cth kekuatan atau julat pergerakan), terdapat faedah daripada menerima lebih banyak pemulihan. Namun, apabila kita membandingkan hanya kajian yang mempunyai perbezaan yang lebih besar antara kumpulan, terdapat kesan yang bermanfaat daripada terapi tambahan dari segi aktiviti kehidupan harian, ukuran aktiviti lengan dan kaki, dan ukuran pergerakan lengan. Hal ini menunjukkan bahawa penghidap strok memerlukan sejumlah besar pemulihan tambahan untuk membuat perubahan dalam pemulihan dan keupayaan mereka untuk melakukan aktiviti harian.

Kepastian bukti
Kepastian bukti, yang diukur dengan kualiti setiap kajian yang disertakan dalam ulasan, adalah sama ada rendah atau sangat rendah. Oleh itu, kami hanya boleh membuat kesimpulan sementara daripada penemuan kajian ini. Ia juga menunjukkan bahawa lebih banyak kajian berkualiti yang lebih baik, adalah diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information