Penjagaan yang melibatkan keluarga untuk kesejahteraan awal kanak-kanak Orang Asli

Mesej utama

Terdapat sedikit peningkatan pada kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan kanak-kanak Orang Asli dan keluarga mereka apabila mereka mengambil bahagian dalam program penjagaan berpusatkan keluarga di perkhidmatan penjagaan kesihatan primer, tetapi kami mempunyai keyakinan yang sangat rendah terhadap bukti keseluruhan.

Semua kajian menggunakan strategi penglibatan komuniti, yang merupakan aspek penting dalam bekerja dengan komuniti Orang Asli.

Kajian yang dikuasakan dengan secukupnya berkemungkinan memberikan anggaran yang lebih baik tentang kesan penjagaan berpusatkan keluarga.

Apakah penjagaan berpusatkan keluarga?

Penjagaan berpusatkan keluarga ialah cara menyediakan penjagaan yang memfokuskan kepada keperluan kanak-kanak dan menyediakan penjagaan terancang di seluruh unit keluarga. Ia mengiktiraf bahawa semua ahli keluarga adalah penerima penjagaan dan bertujuan untuk melibatkan keluarga dalam perkongsian dengan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer.

Mengapakah tumpuan khusus diperlukan pada penjagaan berpusatkan keluarga terhadap kesihatan Orang Asli?

Penjagaan berpusatkan keluarga adalah penting untuk semua kanak-kanak tetapi intervensi mesti mempertimbangkan keperluan sosiobudaya. Menjaga kanak-kanak dalam keluarga Orang Asli selalunya melibatkan peranan dan tanggungjawab ahli keluarga besar, amalan budaya membesarkan anak, dan pemahaman yang menyeluruh (rawatan terhadap keseluruhan orang, dengan mengambil kira faktor mental dan sosial dan bukannya hanya gejala penyakit) -berpusat pada keterkaitan. Penglibatan diri dalam pendekatan menggalakkan kesihatan berpusatkan keluarga melalui perkhidmatan penjagaan kesihatan primer boleh menjadi cara yang berkesan untuk menyampaikan penjagaan kepada kanak-kanak yang mempertimbangkan keperluan dan fungsi keluarga yang lebih luas.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Tidak ada kajian yang dijalankan dengan baik terhadap kajian yang mengkaji kesan penjagaan kesihatan berpusatkan keluarga yang disampaikan melalui perkhidmatan penjagaan kesihatan primer terhadap kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak Orang Asli dan keluarga mereka. Satu ulasan skop (penilaian ringkas tentang penyelidikan dan bukti) yang disiapkan pada 2017 mendapati 18 penilaian tentang penjagaan berpusatkan keluarga untuk kanak-kanak dan keluarga Orang Asli dengan tiga ujian terkawal secara rawak (kajian yang direka bentuk dengan baik yang memberikan bukti terbaik) yang dikenal pasti. Hasilnya, kami ingin mengetahui sama ada penjagaan berpusatkan keluarga bertambah baik:

– kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan kanak-kanak Orang Asli dan keluarga mereka;

– aspek penjagaan khusus seperti kesihatan fizikal dan perkembangan kanak-kanak atau kesihatan psikologi keluarga.

Kami juga ingin mengetahui cara penyampaian penjagaan berpusatkan keluarga menjejaskan penyedia perkhidmatan kesihatan dan penjagaan yang mereka berikan.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang melihat intervensi penjagaan berpusatkan keluarga yang disampaikan di Kanada, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat yang diketuai oleh perkhidmatan penjagaan kesihatan primer kepada kanak-kanak Orang Asli berumur kurang daripada lima tahun. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti.

Apakah yang kami temui?

Kami mendapati 11 kajian yang mendaftarkan 1270 pasangan ibu-anak dan 1924 kanak-kanak berumur kurang daripada lima tahun. Kebanyakan intervensi berpusatkan keluarga yang disampaikan kepada kanak-kanak mempunyai fokus yang berbeza seperti obesiti kanak-kanak, masalah tingkah laku, corak keibubapaan negatif, dan penyakit pernafasan akut. Tujuh kajian menggunakan pendidikan sebagai cara menyampaikan penjagaan berpusatkan keluarga. Semua kajian membandingkan intervensi penjagaan berpusatkan keluarga dengan penjagaan biasa atau perbandingan kawalan yang minimum. Tujuh kajian berasal dari Amerika Syarikat, dua dari New Zealand, satu dari Kanada, dan satu dari Australia dan New Zealand.

Penjagaan berpusatkan keluarga boleh meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan kanak-kanak Orang Asli dan keluarga mereka, tetapi buktinya sangat tidak pasti. Terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kesihatan psikologi dan tingkah laku emosi kanak-kanak, kesihatan fizikal dan hasil perkembangan kanak-kanak, gaya hidup dan tingkah laku yang meningkatkan kesihatan keluarga, dan kesihatan psikologi ibu bapa dan penjaga, tetapi buktinya sangat tidak pasti.

Apakah batasan bukti tersebut?

Kami tidak yakin dengan bukti kerana orang dalam kajian menyedari intervensi yang mereka peroleh, dan ramai orang tidak kembali untuk melaporkan keputusan mereka. Tidak semua kajian melaporkan maklumat yang kami minati. Kajian yang melaporkan data yang kami minati adalah sangat khusus untuk kajian tertentu itu, jadi kami perlu membuat beberapa andaian tentang sama ada data itu digunakan untuk semua keluarga.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 22 September 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information