Pembasmian hidung (membersihkan hidung dengan produk anti-bakteria) sebagai pencegahan jangkitan pada tempat pembedahan dalam individu yang membawa S aureus

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti mengenai adakah pembasmian hidung (membersihkan hidung dengan produk anti-bakteria) adalah berkesan dan selamat untuk mencegah jangkitan tempat pembedahan (SSI) dalam individu yang membawa bakteria Staphylococcus aureus (S aureus).

Latar belakang

Jika bakteria masuk ke tempat luka semasa pembedahan, ini boleh mengakibatkan jangkitan luka yand biasanya disebut SSI. SSI adalah salah satu bentuk jangkitan berkaitan kesihatan yang paling biasa terjadi, dengan kadar 1 hingga 20 pesakit pembedahan mendapat SSI di hospital. Kadar ini meningkat apabila pesakit pulang ke rumah. SSI boleh mengakibatkan penyembuhan luka yang lambat, tempoh tinggal di hospital yang lebih lama, peningkatan penggunaan antibiotik, kesakitan yang tidak perlu dan, dalam kes-kes yang melampau, kematian, maka pencegahan adalah tujuan utama bagi perkhidmatan kesihatan. Individu yang membawa bakteria seperti S aureus adalah sangat terdedah kepada jangkitan luka. Bakteria ini boleh dibawa di dalam hidung, dan kemudian menjangkiti luka pembedahan. Individu yang menjalani pembedahan boleh menggunakan sapuan hidung untuk menguji bakteria, dan hidung mereka boleh dibersihkan dengan produk anti-bakteria (antibiotik dan antiseptik) sebelum pembedahan. Ini dapat membantu mengurangkan pertumbuhan bakteria. Kami ingin mengetahui adakah pembasmian hidung ini berkesan dalam mengurangkan SSI, dan adakah individu mengalami reaksi buruk terhadap rawatan ini, seperti kerengsaan kulit.

Ciri-ciri kajian

Dalam September 2016 kami mencari kajian rawak terkawal (RCTs) yang melibatkan pembasmian hidung bagi mengelakkan SSI. Kami memasukkan dua kajian dengan 291 peserta, semua orang dewasa yang menjalani pembedahan jantung. Produk anti-bakteria yang digunakan untuk membersihkan hidung adalah mupirocin (krim antibiotik) dan Anerdian (larutan disenfeksi).

Keputusan utama

Adalah tidak jelas sama ada pembasmian hidung menyebabkan perbezaan terhadap kadar SSI pada individu yang membawa bakteriaS aureus. S aureus SSI dilaporkan hanya dalam satu kajian dan keputusan tidak membolehkan kami untuk memastikan perbezaan terhadap kadar jangkitan. Sebilangan peserta dalam kajian Anerdian melaporkan kesan sampingan seperti gatal di sekitar hidung, tetapi hal ini adalah tidak serius. Kematian dilaporkan rendah (satu kematian berkait terus dengan jangkitan S aureus).

Kualiti bukti

Kami mendapati kedua-dua kajian tidak mempunyai ramai peserta dan keputusan adalah tidak dapat disimpulkan. Laporan kajian Anerdian tidak menyediakan maklumat mengenai bagaimana kajian telah dilakukan dan ini menyukarkan kami untuk memastikan jika terdapat risiko berat sebelah. Kajian menggunakan mupirocin mempunyai kualiti yang lebih baik dan risiko berat sebelah yang rendah; namun bilangan peserta yang sedikit dan kesan terhad mempengaruhi kualiti keputusan. Bukti tentang potensi faedah dan bahaya penggunaan pembasmian hidung untuk pencegahan SSI pada masa ini adalah berkepastian rendah hingga sangat rendah. RCT yang lebih besar, dan dilaporkan dengan lebih baik adalah diperlukan untuk menilai keberkesanan klinikal rawatan ini.

Ringkasan dalam bahasa mudah ini adalah terkini sehingga September 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Siti Amira Sariyathul Rusly (SEADPRI-UKM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information