Faedah dan kemudaratan pemberian probiotik kepada bayi yang baru dilahirkan selepas pembedahan saluran pencernaan

Mesej utama

• Probiotik mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap risiko jangkitan saluran pendarahan dalam bayi yang dilahirkan dari 35 minggu kehamilan yang telah menjalani pembedahan saluran pencernaan (paip makanan, perut, atau usus).
• Probiotik mungkin meningkatkan kadar bakteria 'baik' dalam usus, tetapi kami tidak tahu sama ada ini mempunyai faedah sebenar untuk bayi.

Apa itu probiotik?

Probiotik ialah bakteria hidup yang mungkin menawarkan kebaikan kesihatan apabila dimakan. Terdapat bukti bahawa probiotik boleh mencegah penyakit radang usus (enterokolitis nekrosis) dan jangkitan dalam bayi pramatang.

Apakah beberapa risiko-risiko pembedahan usus dalam bayi?

Pembedahan saluran pencernaan meningkatkan risiko jangkitan, dan jangkitan boleh meningkatkan tempoh tinggal di hospital. Rawatan dengan antibiotik (ubat-ubatan yang merawat jangkitan bakteria) dan tekanan pembedahan boleh mengurangkan bakteria 'baik' di dalam usus.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada pemberian probiotik kepada bayi yang dilahirkan dari 35 minggu kehamilan yang menjalani pembedahan perut atau usus boleh memperbaik kadar jangkitan, tempoh tinggal di hospital, kadar kematian, penyusuan, dan bahagian bakteria 'baik' dalam perut dan usus.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang memberikan bayi secara rawak kepada rawatan eksperimen (probiotik) atau kawalan, di mana kemungkinan menjadi plasebo (rawatan 'palsu' yang tidak mengandungi sebarang ubat tetapi kelihatan atau rasanya sama dengan ubat yang sedang dikaji) atau tiada rawatan.

Apakah yang kami temui?

Kami mendapati satu kajian kecil terhadap 61 bayi yang dilahirkan dari 35 minggu kehamilan yang telah menjalani pembedahan saluran pencernaan. Tiga puluh bayi telah menerima probiotik selepas pembedahan, dan 30 telah menerima plasebo.

Dalam kumpulan probiotik, 13% bayi telah mengalami jangkitan pendarahan, berbanding dengan 19% dalam kumpulan plasebo. Perbezaan ini terlalu kecil untuk dianggap sebagai mempunyai keertian.

Secara purata, bayi dalam kumpulan probiotik menerima makanan ke dalam perut mereka kira-kira 15 jam lebih awal berbanding dengan mereka dalam kumpulan plasebo. Sekali lagi, perbezaan ini adalah tidak penting.

Antara 39 bayi yang dikaji, mereka dalam kumpulan probiotik telah mempunyai lebih banyak bakteria 'baik' dalam usus mereka berbanding kumpulan plasebo.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai keyakinan tahap sedikit terhadap bukti kerana ia berdasarkan kajian tunggal yang melibatkan peserta yang kurang. Bukti adalah tidak cukup kuat untuk menyokong pemberian probiotik secara rutin. Kajian yang direka dengan baik dan besar diperlukan untuk menentukan faedah dan kemudaratan pemberian probiotik kepada bayi yang baru lahir selepas pembedahan saluran pencernaan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini adalah terkini setakat Ogos 2023.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information