Memandikan pesakit kritikal menggunakan klorheksidin bagi mencegah jangkitan daripada hospital

Apakah tujuan ulasan ini?

Matlamat ulasan ini adalah untuk mengetahui sama ada pesakit kritikal di hospital patut dimandikan dengan antiseptik klorheksidin, untuk mencegah jangkitan. Para penyelidik dari Cochrane telah mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan bagi menjawab soalan ini dan sejumlah lapan percubaan terkawal rawak yang berkaitan telah dijumpai. Percubaan rawak adalah sejenis kajian perubatan di mana peserta akan dipilih secara rawak untuk menerima pelbagai jenis rawatan. Reka bentuk kajian ini memberi bukti yang paling boleh dipercayai sama ada rawatan-rawatan yang diuji mempunyai hubungan dengan hasil kesihatan yang diingini atau tidak diingini.

Mesej utama

Ulasan ini menilai sama ada penggunaan klorheksidin (daripada mengguna sabun dan air) untuk memandikan pesakit di unit rawatan rapi (ICU), atau unit rawatan separa rapi (HDU) atau unit penjagaan kritikal dapat mengurangkan jumlah jangkitan daripada hospital. Kualiti bukti yang boleh diperolehi daripada kajian-kajian yang telah kami analisis adalah rendah, ini bermakna bahawa kami tidak boleh pasti sama ada mandian klorheksidin boleh mengurangkan kemungkinan pesakit kritial untuk mendapat jangkitan, atau mati. Kami juga tidak pasti sama ada dengan memandikan pesakit kritikal menggunakan klorheksidin boleh mengurangkan jangka masa pesakit berada dalam hospital , atau mengurangkan risiko menghidapi kerengsaan kulit.

Apa yang telah dikaji dalam ulasan ini?

Pesakit kritikal (dalam ICU, atau unit rawatan separa rapi atau unit penjagaan kritikal) sering mendapat jangkitan dalam tempoh masa yang mereka ada dalam hospital. Jangkitan-jangkitan ini boleh membawa kepada tempoh kemasukan hospital yang lebih lama, komplikasi kesihatan yang tambahan, kehilangan upaya yang kekal ataupun kematian. Pesakit di ICU lebih terdedah kepada jangkitan kerana keupayaan badan mereka untuk melawan jangkitan-jangkitan tersebut telah dikurangkan oleh penyakit ataupun trauma. Tiub-tiub pembedahan dan talian (contohnya untuk membantu dalam pemakanan atau pernafasan) berpotensi membolehkan bakteria memasuki badan. Klorheksidin merupakan produk kos rendah yang digunakan sebagai antiseptik dan disinfektan di hospital.

Apakah hasil utama ulasan ini?

Pada bulan Disember 2018 kami telah mencari kajian-kajian mengkaji tentang kegunaan klorheksidin untuk memandikan pesakit kritikal. Kami telah menjumpai lapan kajian dari tahun 2005 hingga 2018, yang melibatkan sejumlah 24,472 orang peserta daripada lebih 20 ICU. Tujuh kajian melibatkan peserta yang terdiri daripada orang dewasa, dan satu kajian yang lain pula hanya melibatkan kanak-kanak. Semua kajian tersebut melibatkan kedua-dua golongan wanita dan lelaki. Semua kajian membandingkan mandian klorheksidin dengan mandian menggunakan sabun dan air atau tuala bukan antimikrobial. Terdapat empat kajian yang telah menerima dana daripada pembiaya bebas (organisasi kerajaan, atau daripada hospital atau jabatan-jabatan universiti) atau telah melaporkan tiada sumber pembiayaan luar, dan empat kajian telah menerima dana daripada syarikat-syarikat yang menghasilkan produk klorheksidin.

Bukti-bukti daripada gabungan kesemua lapan kajian tidak mencukupi untuk membenarkan kami mengenal pasti sama ada pesakit yang dimandikan dengan klorheksidin kurang kemungkinan untuk menghidapi jangkitan dalam tempoh masa yang mereka berada di ICU. Kami juga tidak pasti sama ada pesakit yang di dalam klorhexidine kurang cenderung untuk mati, kerana kepastian bukti daripada enam kajian yang melaporkan ini adalah sangat rendah. Kami tidak mengumpul bukti-bukti daripada enam kajian yang melaporkan tentang jangka masa pesakit tinggal di ICU kerana hasil-hasilnya banyak berbeza. Kami juga tidak pasti sama ada pesakit yang dimandikan dengan klorheksidin berkemungkinan tinggal di ICU untuk tempoh yang lebih pendek kerana kepastian bukti adalah sangat rendah. Laporan daripada lima kajian telah memberi bukti yang berbeza tentang sama ada klorheksidin menyebabkan lebih atau kurang kerengsaan kulit; kami tidak pasti sama ada pesakit yang dimandikan dengan klorheksidin lebih atau kurang berkemungkinan untuk mengalami kerengsaan kulit kerana kepastian bukti adalah sangat rendah.

Kualiti bukti

Kebanyakan kajian tidak menggunakan kaedah untuk menyembunyikan jenis larutan mandian yang digunakan oleh kakitangan mereka, hal ini meningkatkan risiko untuk kakitangan memberi layanan yang berbeza kepada pesakit, bergantung sama ada pesakit berada dalam kumpulan kajian yang menggunakan klorheksidin atay kumpulan kajian yang menggunakan air dan sabun. Para peserta dalam sesetengah kajian berkemungkinan telah menghidapi jangkitan sebelum kajian bermula dan kami risau bahawa ini telah menjejaskan hasil kami. Kami juga perasan bahawa terdapat perbezaan yang luas dalam sesetengah hasil kajian dan beberapa kajian juga mempunyai laporan peristiwa yang kurang. Oleh itu, kualiti bukti yang dinilai sebagai rendah ini mempunyai sebab-sebabnya.

Sejauh manakah ulasan ini dikemaskinikan?

Kami telah mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga bulan Disember 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nicole Fong Wan June (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information