Parasetamol untuk sakit belakang bahagian bawah

Soalan sorotan

Untuk melihat keberkesanan parasetamol untuk sakit belakang bahagian bawah (SBBB) tak spesifik. SBBB tak spesifik merupakan sakit belakang yang bukan disebabkan oleh sebarang penyakit atau keadaan.

Latar belakang

Parasetamol adalah salah satu ubat yang lazim diberi kepada penghidap SBBB, dan ia disyorkan dalam garispanduan yang diterbitkan untuk membantu para doktor mengurus pelbagai penyakit. Namun begitu, bukti-bukti terbaru mula mempersoalkan keberkesanannya.

Tarikh carian

Bukti-bukti adalah terkini setakat Ogos 2015.

Ciri-ciri kajian

Dalam sorotan ini, kami telah memasukkan tiga kajian dengan jumlah 1825 peserta, dua daripada kajian tersebut di mana pesertanya mengalami sakit belakang secara mengejut dan baru (akut), dan satu kajian dengan peserta yang sakit belakangnya berlarutan melebihi enam minggu (kronik). Kebanyakan peserta dalam kajian tersebut (90%) berumur pertengahan abad dan daripada satu kajian yang menyiasat sakit belakang akut. Kesemua kajian menguji parasetamol berbanding plasebo (yang tidak mengandungi sebarang bahan yang boleh bertindak seperti ubat). Julat rawatan adalah di antara dos tunggal 1 g (diberi intravena) hingga 4 g dalam tempoh 24 jam hingga empat minggu (tablet oral). Peserta-peserta disusuli antara satu hari dan 12 minggu. Hasil utama yang kami kaji adalah sakit dan hilang upaya; kami juga melihat kualiti hidup, bagaimana peserta menjalani aktiviti harian mereka, kesan sampingan yang tidak selesa atau tidak diingini, pandangan peserta terhadap tahap pemulihan mereka, kualiti tidur, sama ada peserta mengambil ubat yang dipreskripsi dan sama ada 'ubat penyelamat' perlu diambil kerana parasetamol tidak berkesan. Kami menggabungkan dapatan daripada dua kajian ke dalam satu analisis (meta-analisis) yang membandingkan parasetamol dengan plasebo; kajian ketiga tidak melaporkan keputusan bagi plasebo, maka ia tidak dapat dimasukkan.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Kami mendapat bukti berkualiti tinggi bahawa parasetamol (4 g sehari) tidaklah lebih berkesan berbanding plasebo untuk melegakan SBBB akut, sama ada untuk jangka masa pendek atau panjang. Parasetamol juga bukannya lebih baik daripada plasebo dalam aspek-aspek lain yang dikaji, misalnya kualiti hidup dan kualiti tidur. Hampir satu dalam lima orang melaporkan kesan sampingan, walaupun kebanyakannya tidak serius, dan tiada perbezaan di antara kumpulan intervensi dan kumpulan kawalan. Oleh kerana kebanyakan peserta yang dikaji berumur pertengahan abad, kami tidak pasti dapatan yang sama untuk kumpulan umur lain.

Nampaknya, tiada perbezaan di antara parasetamol dan plasebo dalam pengurangan segera SBBB kronik, walaupun kualiti bukti berkenaan adalah sangat rendah, dan kajian tunggal yang didasarkan telah ditarik balik oleh jurnal terbabit.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Wing (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi jame5wtan93@gmail.com

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan