Pendidikan penyusuan susu ibu dan sokongan untuk wanita dengan berkehamilan berganda

Apakah isunya?

Penyusuan susu ibu mempunyai banyak manfaat yang termasuk melindungi bayi daripada penyakit radang usus, paru-paru atau telinga, dan masalah kesihatan jangka panjang seperti kencing manis dan obesiti, hasil kognitif yang lebih baik, dan melindungi ibu daripada kanser payudara. Kadar penyusuan susu ibu adalah lebih rendah di kalangan wanita yang telah melahirkan lebih daripada seorang bayi daripada wanita yang mempunyai seorang bayi. Walau bagaimanapun, terdapat cabaran untuk diatasi dalam penyusuan susu ibu untuk bayi berganda (kembar dua, tiga atau lebih). Pendidikan dan sokongan didapati meningkatkan bilangan wanita yang memulakan penyusuan susu ibu dan meningkatkan tempoh penyusuan susu ibu untuk bayi cukup bulan yang sihat. Pendidikan dan sokongan ini boleh datang daripada pekerja biasa atau daripada profesional kesihatan. Ini boleh diberikan dalam persediaan untuk kelahiran atau apabila bayi-bayi dilahir.

Ibu-ibu yang mempunyai lebih daripada seorang bayi mempunyai banyak cabaran tambahan dalam mengatasi penyusuan susu ibu untuk bayi mereka dan mereka mungkin memerlukan nasihat tambahan dan sokongan. Mereka mempunyai permintaan tambahan penyusuan yang kerap, menyelaras keperluan berpotensi berbeza lebih daripada seorang bayi, atau keperluan untuk memerah susu dan untuk memberipenyusuan untuk bayi lain dengan kaedah penyusuan yang berbeza. Ibu-ibu mempunyai kemungkinan yang lebih besar melahirkan pramatang dan bayi mereka dimasukkan ke unit rawatan rapi neonatal, yang boleh membawa kepada kelewatan dalam permulaan atau berhenti awal penyusuan susu ibu.

Mengapa ini penting?

Penyusuan susu ibu membantu kesihatan dan perkembangan bayi. Melahirkan lebih daripada seorang bayi menimbulkan cabaran tambahan untuk seorang ibu yang merancang untuk penyusuan susu ibu. Ibu-ibu juga lebih cenderung untuk mempertimbangkan pilihan seperti ungkapan susu ibu, penggunaan susu penderma atau susu tambahan dan kaedah yang berbeza untuk penyusuan tambahan. Sesetengah ibu mungkin lebih suka memberi susu ibu yang di perah kerana mereka dapat menentukan jumlah susu yang diberi dan sebagai satu cara untuk membenarkan orang lain membantu dengan penyusuan. Kami ingin mengetahui adakah pendidikan dan sokongan membantu ibu kelahiran berganda untuk penyusuan susu ibu.

Apakah bukti yang kita dapati?

Kami mencari kajian terkawal rawak pada 30 Jun 2016 dan 1 Julai 2016 dan mendapati 10 kajian (23 laporan) untuk dimasukkan ke dalam ulasan kami. Semua kajian adalah pendidikan dan sokongan untuk semua ibu, bukan hanya untuk mereka yang melahirkan lebih daripada seorang bayi, yang memperkenalkan isu-isu metodologi untuk melihatkan khusus pada kelahiran berganda. Kajian mengambil 5787 wanita (ini termasuk 512 wanita ditemuramah sebagai sebahagian daripada kajian rawak kelompok). Bilangan bayi daripada kehamilan berganda adalah kecil dan tidak ada kajian mempunyai jumlah yang mencukupi untuk menyediakan maklumat mengenai cara intervensi menolong untuk ibu kelahiran bergandaan. Terdapat beberapa masalah dengan bagaimana kajian telah dilakukan, termasuk wanita mengetahui jika mereka berada dalam kumpulan mendapat sokongan.

Pengarang dari dua kajian menghantar kami penemuan mereka untuk wanita dengan kelahiran berganda (jumlah 42 wanita). Kajian membandingkan jururawat melawat rumah dengan rawatan biasa (15 wanita), dan kaunselling telefon oleh rakan sebaya berbanding dengan rawatan biasa (27 wanita). Mereka melihat bilangan wanita berhenti apa-apa atau penyusuan eksklusif sebelum empat minggu selepas bersalin dan sebelum enam bulan, tanpa apa-apa penambahbaikan yang jelas disediakan oleh intervensi. Semua 15 wanita dalam satu kajian dan 25 daripada 27 wanita di lain kajian telah memulakan penyusuan susu ibu. Tidak ada maklumat mengenai ungkapan susu ibu. Langkah-langkah hasil lain dilaporkan, termasuk ukuran kepuasan ibu dalam satu kajian dengan 15 wanita, tetapi jumlah tidak mencukupi untuk membolehkan kita untuk membuat apa-apa kesimpulan. Tiada sebarang kesan buruk dilaporkan.

Apakah maksud ini?

Kami tidak dapat membuat kesimpulan daripada bukti yang ada dari kajian rawak terkawal sama ada pendidikan dan sokongan membantu ibu kelahiran berganda menyusu susu ibu. Tiada satu kajian pun telah direka untuk menawarkan sokongan khas atau pendidikan kepada wanita yang melahirkan lebih dari seorang bayi. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengetahui jenis pendidikan dan sokongan yang boleh membantu ibu-ibu dengan bayi berganda untuk penyusuaan susu ibu. Data daripada kajian ini perlu dikemukakan dan dianalisa dengan cara yang sesuai untuk bayi-bayi berganda.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Penang Medical College). Disunting oleh Sharifah Salimah Jaafar (Regency Specialist Hosp Sdn Bhd,JB). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi nila@pmc.edu.my

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan