Intervensi gaya hidup untuk merawat wanita yang menghidapi kencing manis gestasi (atau kencing manis semasa kehamilan)

Apakah isunya?

Kencing manis gestasi (GDM), adalah satu keadaan dimana tiadanya pengendalian glukosa dalam darah yang seterusnya menyebabkan tahap glukosa darah yang tinggi dalam badan dan ia mula dikenalpasti semasa kehamilan dan biasanya paras glukosa kembali normal selepas melahirkan anak. Kencing manis semasa kehamilan telah dikaitkan dengan banyak masalah kesihatan jangka pendek dan jangka panjang bagi ibu dan bayi. Cara utama untuk merawat GDM adalah melalui perubahan gaya hidup seperti pemakanan, senaman dan menyemak tahap glukosa dalam darah.

Mengapa ini penting?

Wanita yang menghidapi GDM mempunyai peningkatan risiko dalam mendapat tekanan darah tinggi semasa kehamilan (pra-eklampsia) dan lebih cenderung untuk mengalami kelahiran secara paksa. Bayi-bayi wanita yang menghidap GDM akan lebih cenderung bersize besar semasa dilahirkan dan ini boleh menyebabkan trauma semasa kelahiran (tulang-tulang patah atau saraf cedera semasa kelahiran) dan keperluan untuk kelahiran secara pembedahan Caesarean. Intervensi-intervensi gaya hidup yang melibatkan dua atau lebih komponen nasihat pemakanan, aktiviti fizikal, pendidikan dan pemantauan sendiri glukosa dalam darah adalah rawatan talian pertama bagi kebanyakan wanita yang menghidap GDM. Intervensi-intervensi seperti pemakanan sihat dan aktiviti fizikal bermatlamat untuk membantu wanita mengekalkan tahap glukosa dalam darah pada lingkungan julat sasaran dan untuk meningkatkan hasil kesihatan ibu dan bayi.

Apakah bukti yang kami perolehi?

Kami telah mencari literasi (Mei 2016) bagi kajian-kajian kawalan yang membandingkan intervensi gaya hidup dengan kumpulan kawalan yang terdiri daripada wanita yang menerima rawatan biasa atau intervensi yang lain. Lima belas kajian terkawal rawak (45 penerbitan) terlibat dalam ulasan ini, melibatkan 4501 orang wanita dan 3768 orang bayi. Tiada satu pun daripada kajian dibiayai oleh geran bersyarat daripada syarikat farmaseutikal.

Bagi bayi, intervensi-intervensi gaya hidup berhubung kait dengan pengurangan risiko bayi dilahirkan bersize besar pada umur gestasi (enam kajian, 2994 orang bayi). Bilangan bayi dengan berat waktu lahir lebih daripada 4000 g (makrosomia) adalah lebih sedikit dalam intervensi gaya hidup, dengan tiada perbezaan yang jelas pada bilangan bayi baru lahir yang mengalami tahap glukosa dalam darah yang rendah (enamkajian, 3000 orang bayi). Bukti untuk penemuan ini adalah berkualiti sederhana. Berat waktu lahir juga adalah lebih rendah dalam kumpulan intervensi gaya hidup.

Bagi para ibu, tiada perbezaan yang jelas dalam memperkenalkan intervensi gaya hidup pada bilangan wanita yang mempunyai tekanan darah tinggi berpunca daripada kehamilan (empat kajian, 2796 orang wanita) atau yang menjalankan pembedahan Caesarean (10 kajian, 3545 orang wanita) berdasarkan pada bukti berkualiti rendah atau pada kelahiran yang dipercepatkan (empat kajian, wanita 2699, bukti berkualiti tinggi). Bilangan wanita adalah sama bagi yang mengalami trauma atau koyakan perineum (satu kajian, 1000 orang wanita) atau menghidapi diabetes jenis 2 pada paling maksimum 10 tahun selepas kelahiran (dua kajian, 486 orang wanita). Penemuan ini disokong oleh bukti-bukti berkualiti rendah hingga sederhana.

Lebih ramai wanita dalam kumpulan gaya hidup mencapai matlamat berat badan mereka dalam satu tahun selepas melahirkan anak, dan intervensi gaya hidup berhubung kait dengan pengurangan risiko kemurungan selepas kelahiran, daripada kajian tunggal. Penemuan ini disokong oleh bukti-bukti berkualiti rendah.

Apakah maksud ini?

Intervensi-intervensi gaya hidup memberi manfaat kepada wanita yang menghidapi GDM dan bayi mereka. Intervensi-intervensi ini adalah berguna sebagai strategi terapeutik primer dan secara amnya termasuk, paling minimal, pemakanan yang sihat, aktiviti fizikal dan pemantauan sendiri tahap gula dalam darah.

Penyelidikan pada masa hadapan boleh menumpukan perhatian kepada komponen-komponen intervensi gaya hidup yang berkesan dan penggunaan intervensi-intervensi gaya hidup sebagai satu-satunya intervensi yang tidak melibatkan rawatan farmakologi. Kajian akan datang juga perlu mempertimbangkan hasil jangka panjang bagi ibu dan anaknya sebagai keutamaan apabila merancang kajian pada masa depan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Fairuz Fadzilah Rahim (Penang Medical College). Disunting oleh Chan MW (Penang Medical College). Sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini boleh hubungi fairuzfr@yahoo.com atau chanmw@pmc.edu.my

Tools
Information