Intervensi untuk menguruskan perdarahan selepas cabutan gigi.

Soalan ulasan

Kami menjalankan ulasan ini untuk menilai pelbagai intervensi untuk merawat perdarahan selepas cabutan gigi.

Latar belakang

Selepas cabutan gigi, adalah lazim untuk kawasan kerja berdarah dan membentuk darah beku, umumnya dalam masa beberapa minit. \ Adalah tidak normal jika perdarahan berterusan tanpa pembentukan darah beku, atau berterusan melebihi 8 hingga 12 jam; keadaan ini dipanggil perdarahan selepas cabutan (PEB). Insiden perdarahan boleh mencemaskan pesakit, dan mungkin perlu rundingan kecemasan pergigian dan intervensi. Sebab-sebab PEB boleh jadi setempat, penyakit sistemik atau ubat-ubatan. Untuk mengawal perdarahan ini, pelbagai kaedah setempat dan sitemik telah diamalkan, berdasarkan kepakaran pengamal klinikal. Untuk menyarankan pengamal klinikal tentang rawatan terbaik, bukti diperlukan daripada kajian-kajian di mana peserta telah dipilih secara rawak kepada sekurang-kurangnya dua kumpulan berlainan, yang menerima pelbagai rawatan atau tiada rawatan (misalnya kajian rawak terkawal atau RCT)

Ciri-ciri kajian

Penulis kumpulanKesihatan Oral Cochrane membuat ulasan RCT yang menilai intervensi untuk merawat perdarahan selepas cabutan. Ulasan asal diterbitkan pada Jun 2016. Untuk versi ini, kami mencari kajian perubatan dan pergigian sehingga 24 Januari 2018. Kami tidak mendapati RCT yang menepati kriteria kemasukan untuk ulasan ini.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Ulasan ini menunjukkan tiada bukti RCT untuk keberkesanan sebarang rawatan sedia ada bagi merawat perdarahan selepas cabutan. RCT yang berkualiti tinggi diperlukan untuk membantu pengamal klinikal dan pesakit membuat pilihan tentang opsyen rawatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information