Adakah dermoskopi meningkatkan ketepatan mendiagnosis kanser sel basal atau sel skuamosa (BCC atau cSCC) berbanding dengan menggunakan mata kasar sahaja?

Apakah tujuan ulasan ini?

Kami ingin mengetahui sama ada menggunakan mikroskop bercahaya pegangan tangan (dermatoskop atau 'dermoskopi') adalah lebih baik untuk mendiagnosis karsinoma sel basal (BCC) atau karsinoma sel skuamosa kulit (cSCC) berbanding dengan hanya melihat kulit dengan mata kasar. Kami memasukkan 24 kajian untuk menjawab soalan ini.

Mengapakah memperbaiki diagnosis BCC atau cSCC penting?

Terdapat beberapa jenis kanser kulit yang berbeza. BCC dan cSCC adalah kurang serius berbanding dengan kanser kulit melanoma, kerana ia biasanya tumbuh lebih perlahan dan BCC tidak merebak ke organ lain dalam badan. Membuat diagnosis BCC atau cSCC yang betul masih penting, kerana rawatannya mungkin berbeza. BCC yang terlepas (dikenali sebagai keputusan negatif palsu) boleh mengakibatkan kecacatan dan keperluan untuk pembedahan yang lebih besar. cSCC yang terlepas boleh merebak ke bahagian badan yang lain. Mendiagnosis BCC atau cSCC apabila ia tidak betul-betul hadir (hasil positif palsu) mungkin bermakna rawatan yang tidak perlu, seperti pembedahan pembuangan yang boleh mengakibatkan parut yang mencacatkan, dan pesakit bimbang jika lesi (tahi lalat atau kawasan kulit dengan penampilan luar biasa berbanding dengan kulit di sekelilingnya) adalah benign (bukan kanser), atau mungkin mengakibatkan rawatan yang salah, contohnya terapi bukan pembedahan, digunakan jika lesi tersalah diagnosis.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Dermatoskop ialah pembesar pegangan tangan yang melibatkan sumber cahaya. Dermoskopi sering digunakan oleh pakar kulit untuk membantu mendiagnosis kanser kulit. Ia juga digunakan lebih banyak oleh doktor komuniti.

Di samping melihat sama ada dermoskopi menambah apa-apa kepada pemeriksaan visual sahaja secara keseluruhan, kami juga ingin mengetahui sama ada ketepatan dermoskopi berbeza apabila digunakan dalam perundingan bersemuka atau apabila digunakan pada imej lesi kulit yang dihantar kepada pakar. Kami juga cuba untuk mengetahui sama ada ketepatan dermoskopi telah diperbaiki dengan menggunakan senarai semak, atau jika ia lebih baik apabila digunakan oleh pakar kulit berbanding dengan bukan pakar.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Ulasan ini menyertakan 24 kajian yang melaporkan maklumat untuk orang dengan lesi yang disyaki kanser kulit.

Diagnosis BCC dengan kehadiran pesakit

Kami menemui 11 kajian yang berkaitan. Lapan kajian (termasuk 7017 lesi kulit yang mencurigakan) menyiasat ketepatan pemeriksaan visual dengan sendirinya dan tujuh kajian (dengan 4683 lesi kulit yang mencurigakan) menyiasat ketepatan dermoskopi yang ditambahkan pada pemeriksaan visual (empat daripadanya melaporkan data untuk kedua-dua pemeriksaan visual dengan sendirinya. dan untuk dermoskopi ditambah pada pemeriksaan visual). Keputusan menunjukkan dermoskopi adalah lebih tepat daripada pemeriksaan visual bersendirian, untuk mengenal pasti BCC dengan betul untuk mengecualikan perkara yang bukan BCC.

Keputusannya boleh digambarkan menggunakan sekumpulan 1000 lesi, di mana 170 (17%) adalah BCC. Bagi mengetahui seberapa baik dermoskopi dalam mengenal pasti BCC dengan betul apabila dibandingkan dengan hanya melihat kulit, kami perlu menganggap kedua-duanya membawa kepada jumlah yang sama lesi didiagnosis sebagai BCC dengan salah (kami menganggap 166 daripada 830 lesi tanpa BCC akan didiagnosis sebagai BCC dengan salah). Dalam keadaan tetap ini, menambahkan dermoskopi kepada pemeriksaan visual akan mengenal pasti dengan betul tambahan 24 melanoma (158 berbanding dengan 134) yang mungkin terlepas dengan hanya melihat kulit sahaja. Dengan kata lain, lebih banyak kanser BCC akan dikenal pasti dengan betul.

Bagi mengetahui seberapa baik dermoskopi dalam menentukan jika lesi kulit adalah bukan BCC apabila dibandingkan dengan hanya melihat kulit, kami perlu menganggap kedua-duanya membawa kepada jumlah BCC yang sama didiagnosis dengan betul (dalam kes ini kami menganggap 136 daripada 170 melanoma akan didiagnosis dengan betul). Dalam situasi ini, menambahkan dermoskopi kepada pemeriksaan visual akan mengurangkan jumlah lesi didiagnosis sebagai BCC dengan salah sebanyak 183 (pengurangan dari 191 dalam kumpulan pemeriksaan visual ke lapan orang dalam kumpulan dermoskopi). Dengan kata lain, lebih banyak lesi yang bukan BCC akan dikenal pasti dengan betul, dan kurang pesakit akan dihantar untuk pembedahan.

Diagnosis BCC berasaskan imej

Sebelas kajian mengenai diagnosis BCC menggunakan sama ada gambar klinikal atau imej diperbesarkan daripada dermatoskop telah dimasukkan. Empat kajian, (termasuk 853 lesi kulit yang mencurigakan) menggunakan pemeriksaan visual gambar dan sembilan kajian (termasuk 2271 lesi yang mencurigakan) menggunakan imej dermoskopik (dua kajian melaporkan data untuk diagnosis menggunakan kedua-dua gambar dan menggunakan imej dermoskopik). Keputusan sangat serupa dengan kajian secara bersemuka.

Nilai senarai semak dan kepakaran pemerhati

Tiada bukti bahawa penggunaan senarai semak untuk membantu pemeriksaan visual atau penafsiran dermoskopi menambah ketepatan diagnosis. Tiada bukti yang mencukupi untuk mengkaji kesan kepakaran dan latihan klinikal.

Diagnosis cSCC

Tiada bukti yang mencukupi untuk mengulas dengan pasti tentang ketepatan sebarang ujian untuk pengesanan cSCC.

Bolehkah keputusan kajian dalam ulasan ini dipercayai?

Kebanyakan kajian kami membuat diagnosis akhir yang boleh dipercayai melalui biopsi lesi dan dengan mengikuti orang dari semasa ke semasa untuk memastikan lesi kulit kekal negatif untuk kanser kulit. Sesetengah kajian menggunakan diagnosis pakar untuk mengesahkan ketiadaan kanser kulit, yang kurang dipercayai*. Laporan kajian yang lemah menyukarkan kami untuk menilai sejauh mana ia boleh dipercayai. Sesetengah kajian mengecualikan jenis lesi kulit tertentu dan ada yang tidak menerangkan cara keputusan ujian positif untuk mencetuskan rujukan kepada pakar atau rawatan ditakrifkan.

Kepada siapakah keputusan ulasan ini boleh diaplikasi?

Sebelas kajian telah dilakukan di Eropah (46%), dan selebihnya di Amerika Utara (n = 3), Asia (n = 5), Oceania (n = 2), atau pelbagai negara (n = 3). Orang yang dimasukkan ke dalam kajian secara purata berumur antara 30 dan 74 tahun. Peratusan orang yang mempunyai BCC berjulat antara 1% dan 61% untuk kajian secara bersemuka dan antara 2% dan 63% dalam kajian menggunakan imej. Hampir semua kajian dilakukan dengan orang yang dirujuk dari penjagaan primer ke klinik pakar kulit. Lebih separuh daripada kajian menganggap keupayaan dermoskopi dan pemeriksaan visual untuk mendiagnosis sebarang kanser kulit, termasuk melanoma dan BCC, manakala 10 (42%) tertumpu hanya pada BCC. Variasi dalam kepakaran doktor yang melakukan pemeriksaan dan perbezaan dalam definisi yang digunakan untuk memutuskan apabila ujian adalah positif menjadikannya tidak jelas cara dermoskopi harus dijalankan dan tahap latihan yang diperlukan untuk mencapai ketepatan yang diperhatikan dalam kajian.

Apakah implikasi ulasan ini?

Apabila digunakan oleh pakar, dermoskopi mungkin merupakan alat yang berguna untuk membantu mendiagnosis BCC dengan betul jika dibandingkan dengan pemeriksaan visual sahaja. Adalah tidak jelas sama dermoskopi patut digunakan oleh pengamal perubatan umum untuk mengenal pasti dengan betul orang dengan lesi yang mencurigakan yang perlu dilihat oleh seorang pakar. Senarai semak untuk membantu mentafsir dermoskopi nampaknya tidak membantu meningkatkan ketepatan untuk BCC. Kajian lanjut adalah diperlukan, untuk melihat sama ada dermoskopi berguna dalam penjagaan primer.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan mencari dan menggunakan kajian yang diterbitkan sehingga Ogos 2016.

*Dalam kajian-kajian biopsi ini, susulan klinikal atau diagnosis doktor pakar adalah rujukan standard (cara mendapatkan diagnosis terakhir).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information