Antiseptik untuk lecur

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti sama ada antiseptik adalah selamat dan berkesan untuk merawat luka melecur.

Latar belakang

Luka melecur menyebabkan banyak kecederaan dan kematian di seluruh dunia. Orang dengan luka melecur sangat terdedah kepada jangkitan. Antiseptik menghalang pertumbuhan kuman seperti bakteria. Ia boleh diaplikasi pada luka melecur dalam dresing atau cucian, yang boleh membantu untuk mencegah jangkitan dan menggalakkan penyembuhan luka. Kami ingin mengetahui jika antiseptik adalah lebih berkesan daripada rawatan jenis lain, atau sama ada satu antiseptik mungkin lebih berkesan daripada yang lain, dalam mengurangkan jangkitan dan mempercepatkan penyembuhan.

Ciri-ciri kajian

Pada September 2016 kami mencari kajian rawak terkawal (RCTs) melibatkan rawatan antiseptik untuk luka melecur. Kami sertakan 56 kajian dengan 5807 peserta. Kebanyakan peserta adalah orang dewasa dengan hangus darjah kedua yang baru, kurang daripada 40% keluasan permukaan badan mereka. Antiseptik yang digunakan termasuk: berasaskan perak, madu, berasaskan iodin, klorheksidin atau polyhexanide (biguanides). Kebanyakan kajian membandingkan antiseptik dengan antibiotik topikal (diaplikasi pada kulit). Sebilangan kecil kajian membandingkan antiseptik dengan rawatan bukan antibakteria, atau dengan antiseptik lain.

Keputusan utama

Majoriti kajian membandingkan rawatan antiseptik dengan sulfadiazine perak (SSD), antibiotik topikal yang biasa digunakan dalam rawatan melecur. Terdapat bukti kepastian rendah bahawa sesetengah antiseptik boleh mempercepatkan purata masa penyembuhan berbanding dengan SSD. Terdapat juga bukti kepastian sederhana bahawa lecur yang dirawat dengan madu mungkin sembuh lebih cepat berbanding lecur yang dirawat dengan antibiotik topikal. Kebanyakan perbandingan lain tidak menunjukkan perbezaan yang jelas antara antiseptik dan antibiotik.

Terdapat bukti bahawa lecur yang dirawat dengan madu sembuh dengan lebih cepat (bukti kepastian tinggi) dan lebih cenderung untuk sembuh (bukti kepastian sederhana) berbanding dengan orang-orang yang diberi pelbagai rawatan antibakteria, sebahagian daripadanya adalah tidak konvensional. Lecur yang dirawat dengan antiseptik seperti nanocrystalline perak atau merbromin mungkin boleh sembuh secaras purata lebih cepat daripada lecur yang dirawat dengan Vaseline kain kasa atau lain-lain rawatan bukan antibakteria (bukti kepastian sederhana atau rendah). Perbandingan dua antiseptik yang berbeza adalah terhad tetapi purata masa untuk penyembuhan mungkin sedikit lebih cepat bagi luka yang dirawat dengan povidone iodin berbanding dengan kloheksidin (bukti kepastian rendah). Beberapa peserta kajian mengalami kesan sampingan yang serius, tetapi ini tidak selalu dilaporkan. Keputusan-keputusan tersebut tidak membolehkan kami memastikan perbezaan dalam kadar jangkitan. Kematian adalah rendah di mana dilaporkan.

Kualiti bukti

Kebanyakan kajian tidak dilaporkan baik dan ini menjadikan ia sukar untuk memastikan jika mereka berisiko berat sebelah. Dalam kebanyakan kes, kajian tunggal (biasanya kecil) memberi bukti untuk semua kesan perbandingan perlbagai rawatan; dan beberapa kajian yang hampir sama memberi keputusan yang bercanggah. Di mana terdapat bukti kepastian sederhana atau tinggi, klinisian perlu mempertimbangkan sama ada bukti daripada perbandingan adalah relevan kepada pesakit mereka.

Ringkasan bahasa mudah ini adalah terkini sehingga September 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save