Kesan polisi yang mengawal selia insurans untuk ubat

Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada skim insurans ubat mengubah orang ramai menggunakan ubat-ubatan, jumlah wang yang mereka belanjakan untuk ubat-ubatan, kesihatan mereka, dan penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan mereka. Penulis Ulasan Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini. Mereka menemui 58 kajian. Kebanyakan kajian ini adalah dari AS yang menilai satu perubahan polisi (Medicare Bahagian D) yang dilaksanakan pada Januari 2006.

Mesej utama

Medicare Bahagian D AS menawarkan ubat preskripsi secara percuma kepada warga emas. Sistem ini mungkin meningkatkan jumlah ubat-ubatan yang digunakan oleh warga emas, tetapi mereka mungkin kurang membelanjakan wang untuk ubat-ubatan. Kami tidak tahu sama ada sistem ini mengubah kesihatan orang ramai atau penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan mereka kerana bukti berkepastian sangat rendah.

Apakah itu skim insurans ubat?

Dalam skim insurans ubat, kerajaan atau organisasi swasta menawarkan orang ramai ubat yang mereka perlukan dengan kos yang rendah atau percuma. Ubat-ubatan tersebut biasanya dibayar melalui cukai kerajaan, majikan, orang yang membayar keahlian dalam skim insurans, atau gabungan sistem-sistem ini.

Banyak negara mempunyai sistem insurans ubat yang bercampur dari sektor awam dan swasta. Sesetengah skim insurans ubat melindungi semua orang dalam negara atau keadaan. Skim lain hanya meliputi golongan tertentu sahaja. Sebagai contoh, sesetengah skim hanya meliputi orang yang bekerja, manakala skim lain hanya meliputi golongan miskin dan warga emas.

Skim insurans ubat yang berjaya boleh meningkatkan kesihatan orang ramai dengan memberi mereka ubat-ubatan yang mereka perlukan sama ada secara percuma atau pada harga yang mereka mampu. Skim insurans ubat juga boleh menjimatkan wang untuk kerajaan dan organisasi swasta. Sebagai contoh, orang yang menggunakan ubat yang betul mungkin kurang memerlukan perkhidmatan penjagaan kesihatan. Kerajaan dan organisasi yang menjalankan skim ini juga boleh merundingkan harga yang lebih baik dengan syarikat ubat.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Penulis ulasan menemui 58 kajian yang berkenaan. Kebanyakan kajian ini adalah dari AS dan 54 daripadanya menilai satu jenis skim insurans ubat: Medicare Bahagian D.

Medicare Bahagian D ialah skim insurans ubat untuk warga emas. Dalam skim ini, warga emas yang sedang menggunakan Medicare mempunyai akses percuma kepada ubat preskripsi mereka sehingga jumlah tertentu setiap tahun (pada 2018, jumlah ini ialah USD 3750 setiap orang). Selepas jumlah ini dicapai, sistem lain digunakan. Kajian ini menunjukkan perkara berikut.

- Medicare Bahagian D mungkin meningkatkan jumlah ubat yang digunakan oleh orang ramai (bukti berkepastian rendah).

- Medicare Bahagian D mungkin mengurangkan jumlah wang orang ramai belanjakan untuk ubat (bukti berkepastian rendah).

- Medicare Bahagian D mungkin membawa kepada peningkatan kecil dalam bilangan lawatan ke jabatan kecemasan oleh penerima skim (bukti berkepastian rendah).

- Kami tidak tahu apakah kesan Medicare Bahagian D terhadap kesihatan orang ramai atau terhadap penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan lain kerana bukit berkepastian sangat rendah.

Salah satu sebab keyakinan kami yang rendah terhadap penemuan ini ialah kami tidak tahu sejauh mana keputusan ini berkaitan dengan negara-negara atau keadaan luar AS.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga September 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). DIsunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information