Pakaian dan peralatan untuk kakitangan kesihatan bagi mencegah Ebola dan lain-lain penyakit yang mudah berjangkit.

Kakitangan kesihatan berisiko lebih tinggi kepada jangkitan seperti Penyakit Virus Ebola atau SARS berbanding orang awam. Salah satu cara untuk mencegah jangkitan adalah dengan menggunakan peralatan perlindungan peribadi, seperti pakaian perlindungan, sarung tangan, topeng, dan gogel untuk mengelakkan pencemaran terhadap pekerja. Masih tidak jelas jenis peralatan mana yang melindungi lebih baik dan bagaimana cara terbaik ia boleh dibuang selepas diguna. Juga tidak jelas apakah cara terbaik untuk melatih pekerja mematuhi petunjuk bagi peralatan ini.

Kajian mendapati

Kami mendapati enam kajian dengan 295 peserta di mana pakaian perlindungan pekerja disembur dengan penanda pendarfluor atau virus tidak berbahaya untuk simulasi apa yang berlaku di hospital. Empat daripada kajian tersebut membandingkan pelbagai jenis pakaian perlindungan. Dua kajian membandingkan cara yang berbeza untuk memakai pakaian dan menanggalkannya. Tiga kajian dengan 905 peserta membandingkan kesan latihan aktif penggunaan peralatan perlindungan berbanding latihan pasif. Semua kajian mempunyai risiko bias yang tinggi.

Pelbagai jenis pakaian dibandingkan

Walaupun dengan pakaian pelindung, penanda ditemui pada kulit 25% kepada 100% daripada pekerja. Dalam satu kajian, pakaian yang senang bernafas tidak membawa kepada lebih pencemaran daripada pakaian tidak boleh bernafas, tetapi pengguna lebih berpuas hati. Gaun membawa kepada kurang pencemaran kurang daripada apron dalam kajian yang lain. Dua kajian tidak melaporkan data yang mencukupi bagi membolehkan rumusan. Bukti ini adalah berkualiti rendah.

Pelbagai jenis penanggalan pakaian dibandingkan

Dalam satu kajian, penggunaan dua pasang sarung tangan menunjukkan kurang pencemaran berbanding penggunaan sepasang sarung tangan sahaja. Sarung tangan luar ditanggalkan segera selepas tugas selesai. Dalam kajian lain, mengikut panduan CDC untuk penanggalan apron atau gaun menunjukkan kurang pencemaran. Bukti ini juga adalah berkualiti rendah.

Latihan aktif

Latihan aktif, termasuk simulasi komputer dan arahan lisan, menunjukkan kurang kesilapan tentang panduan mengenai perlindungan yang mana patut digunakan dan bagaimana menanggalkannya dalam kalangan kakitangan kesihatan berbanding latihan pasif.

Bukti kualiti

Kami menilai bahawa bukti adalah berkualiti sangat rendah kerana limitasi dalam kajian, tidak langsung dan bilangan peserta yang kecil.

Apakah yang kita perlu tahu?

Tidak ada kajian mengenai kesan gogel, pelindung muka, sarung tangan lengan panjang atau pelekat kepada risiko pencemaran. Kita perlu kajian simulasi melibatkan lebih ramai peserta, sebaik-baiknya menggunakan pendedahan kepada virus yang tidak berbahaya, untuk mengetahui jenis dan kombinasi yang paling melindungi. Cara terbaik untuk menanggalkan pakaian perlindungan selepas digunakan juga tidak jelas. Kita perlu kajian yang melibatkan pekerja dalam pelbagai jenis latihan untuk mengetahui jenis latihan yang paling sesuai. Kakitangan kesihatan yang terdedah kepada penyakit berjangkit harus mendaftarkan peralatan perlindungan mereka dan disusuli untuk risiko jangkitan. Kami menggesa WHO dan NGO untuk menganjurkan lebih banyak kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Penang Medical College) Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi nila@pmc.edu.my. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal)

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan