Cara penjagaan paliatif pesakit demensia peringkat akhir

Soalan ulasan

Dalam kajian ini, kami ingin melihat sama ada penjagaan paliatif dapat membantu pesakit demensia peringkat akjir, keluarga dan penjaga mereka. Kami juga ingin menggambarkan bagaimana penyelidik cuba menilai kesan penjagaan paliatif.

Latar belakang

Pesakit demensia peringkat akhir mempunyai masalah ingatan yang teruk dan juga masalah untuk membuat keputusan yang mudah. Selalunya, mereka tidak lagi dapat berkomunikasi melalui pertuturan. Mereka memerlukan banyak bantuan daripada penjaga mereka. Pesakit demensia peringkat akhir boleh hidup untuk jangka masa yang lama. Ia adalah amat sukar untuk menjangka secara tepat tentang jangka hayat pesakit demensia peringkat akhir.

Penjagaan paliatif (atau penjagaan akhir hayat) merupakan satu cara untuk menjaga pesakit yang tidak dapat disembuhkan Tujuan utama penjagaan paliatif adalah untuk mengurangkan kesakitan dan mengekalkan kualiti hidup sebaik mungkin sebelum pesakit meninggal dunia. Penjagaan paliatif selalu digunakan untuk pesakit kanser namun jarang untuk pesakit demensia peringkat akhir

Ciri-ciri kajian

Kami telah meneliti kajian yang diterbitkan sehingga Januari 2016. Kami mendapati hanya dua kajian yang sesuai (189 orang), kedua-duanya dari Amerika Syarikat. Kami juga menjumpai enam kajian yang sedang dijalankan tetapi keputusannya belum lagi diterbitkan.

Keputusan utama

Satu kajian mendapati bahawa mempunyai sepasukan kecil doktor dan jururawat terlatih dalam penjagaan paliatif boleh membawa sedikit perubahan dalam cara layanan pesakit demensia semasa berada di hospital. Tetapi, mempunyai pasukan khas ini bermakna bahawa lebih ramai akan mempunyai pelan penjagaan paliatif semasa mereka dibenarkan keluar hospital. Satu lagi kajian mengkaji sama ada jika diberikan maklumat bertulis kepada saudara-mara pesakit bagi menjelaskan pelbagai kaedah yang boleh digunakan untuk memberi makan kepada pesakit demensia lanjutan dapat membantu saudara-mara atau pesakit itu sendiri. Kajian ini mendapati bahawa pemberian maklumat ini kepada saudara-mara dapat memudahkan mereka untuk membuat keputusan mengenai kaedah yang akan digunakan untuk memberi makan kepada pesakit demensia.

Kualiti bukti

Kami hanya menjumpai dua kajian dan kedua-duanya menggunakan kaedah penjagaan paliatif yang amat berbeza. Kami tidak dapat memastikan ketepatan keputusan yang dilaporkan di sini, sebahagiannya disebabkan hanya sebilangan kecil orang yang mengambil bahagian dalam kajian tersebut. Jadi dari kajian ini, adalah sukar untuk memastikan sama ada penjagaan paliatif membawa perubahan kepada pesakit demensia peringkat akhir.

Kesimpulan

Penyelidikan ke atas pesakit demensia peringkat akhir adalah amat sedikit, selalunya disebabkan isu etika. Walaupun sukar untuk menjalankan penyelidikan ke atas pesakit dementia, lebih banyak kajian yang dirancang dengan baik masih diperlukan untuk mengkaji cara penjagaan paliatif yang paling sesuai bagi populasi istimewa ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Zcho Huey (Penang Medical College). Disunting oleh Andey Rahman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi zchohuey_c2017@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save