Adakah sel-sel darah merah yang telah dibasuh pra-pemindahan untuk bayi pramatang meningkatkan hasil kesihatan mereka?

Latar belakang: Bayi yang dilahirkan pramatang atau dengan berat lahir yang rendah mungkin diberi pemindahan darah untuk beberapa sebab. Sebagai contoh, mereka kekadang tidak dapat menghasilkan darah sendiri lagi; mereka mungkin memerlukan beberapa ujian darah untuk memantau keadaan mereka; atau mereka mungkin memerlukan darah tambahan jika mereka sakit kritikal.

Kajian pada kanak-kanak yang lebih tua dan orang dewasa mendapati bahawa proses 'membasuh' sel-sel darah sebelum pemindahan meningkatkan hasil jangka pendek dan jangka panjang. Membasuh darah dapat mengeluarkan hampir semua protein plasma dan kebanyakan sel-sel darah putih, yang boleh membantu mengurangkan kesan-kesan sampingan pemindahan darah. Kami mahu mengetahui jika bayi pramatang boleh mendapati kesan-kesan positif yang sama.

Soalan ulasan: Kami mahu mengetahui sama ada membasuh sel-sel darah sebelum pemindahan boleh mengurangkan peluang penyakit yang biasanya berlaku kepada bayi pramatang. Sebahagian daripada hasil yang kita lihat adalah penyakit-penyakit yang memberi kesan kepada mata (retinopati pra-matang), paru-paru (penyakit paru-paru kronik), otak (pendarahan Intraventricular atau sista), dan masalah pembesaran jangka panjang. Kami juga mahu melihat hasil-hasil lain seperti tempoh penginapan hospital dan tindak balas akut pemindahan darah.

Keputusan-keputusan utama: Kajian ini mendapati hanya satu kajian yang mengkaji kesan-kesan membasuh sel darah sebelum pemindahan pada bayi pramatang. Kajian ini melibatkan jumlah bilangan bayi yang kecil. Hasil kajian yang dilaporkan yang relevan dengan kajian kami adalah kematian, tempoh pengudaraan mekanikal, dan tempoh awal hospitalisasi. Keputusan bagi semua hasil ini adalah sangat tidak menentu. Basuh sel darah mungkin berguna atau berbahaya, tetapi kami tidak boleh menentukan dengan pasti.

Kualiti bukti: Ia adalah sukar untuk membuat sebarang rumusan daripada bukti-bukti yang sedia ada mengenai sama ada membasuh darah akan membantu bayi-bayi pramatang atau tidak. Sehingga kini, tidak ada bukti kukuh yang menunjukkan bahawa membasuh darah memberi sebarang perubahan kepada hasil bayi pramatang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia) Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my.

Tools
Information