Berapa tepat Mini-Cog mengesan demensia dalam kalangan pesakit dalam dan pesakit luar di persekitaran hospital?

Mengapakah mengenal demensia penting?

Demensia adalah keadaan lazim yang penting, dan kebanyakan mereka dengan demensia tidak pernah didiagnos. Diagnosis memberi peluang untuk sokongan sosial, perancangan penjagaan lanjut dan dalam jenis-jenis penyakit tertentu, rawatan dengan ubat-ubatan. Walau bagaimanapun, tersilap mendiagnos demensia ketika ia tidak wujud (keputusan positif palsu) boleh menyebabkan distres individu dan keluarga mereka dan membazir sumber dalam ujian diagnostik.

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sejauh mana ujian Mini-Cog tepat untuk mengesan demensia dalam kalangan pesakit dalam dan pesakit luar di persekitaran hospital. Para penyelidik Cochrane menyertakan tiga kajian untuk menjawab soalan ini.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Mini-Cog adalah ujian pendek memori dan kemahiran berfikir yang menguji kemampuan individu untuk mengingat tiga objek spesifik, yang dinamakan pada awal penilaian pendek, diulang pada masa itu dan diingat kembali oleh individu kemudian. Sebagai tambahan, individu yang dinilai diminta untuk melukis muka jam pada waktu tertentu. Markah diberi berdasarkan kemampuan mengingat kembali tiga item dan lengkapnya jam. Mini-Cog adalah ujian pendek yang biasa diguna untuk mengenal pasti jika seseorang bermasalah dengan ingatan dan kemahiran berfikir yang mungkin bermanfaat dengan rujukan pakar untuk penilaian yang lebih terperinci.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Ulasan ini menyertakan data daripada tiga kajian yang relevan dengan sejumlah 2560 peserta. Walau bagaimanapun, para penulis kajian tidak mengguna kebanyakan data peserta yang dinilai, hanya keputusan 1415 peserta dengan maklumat lengkap diguna untuk menangani persoalan ulasan.

Ketiga-tiga kajian memberi keputusan Mini-Cog dengan cara yang disaran oleh pembangun ujian tersebut. Tiada pola jelas keputusan tentang maksud keputusan positif ujian Mini-Cog di dalam ketiga-tiga kajian tersebut, oleh itu sukar untuk membuat kesimpulan ringkas. Menggunakan keputusan kajian Mini-Cog yang tertinggi dan terendah menjelaskan jika Mini-Cog diguna dalam penjagaan sekunder dalam kalangan sekumpulan 1000 orang, di mana 640 (64%) menderita demensia, dianggar 510 hingga 557 akan mendapat keputusan Mini-Cog positif, yang mana 0 hingga 126 akan silap diklasifikasi sebagai demensia. Daripada 443 hingga 490 orang dengan keputusan tiada demensia, 83 hingga 256 orang akan silap diklasifikasi sebagai tiada demensia.

Adakah keputusan kajian-kajian dalam ulasan ini boleh percaya?

Dalam kajian-kajian yang disertakan, diagnosis demensia dibuat dengan penilaian klinikal terperinci semua pesakit. Penilaian klinikal terperinci adalah standard rujukan yang dibanding dengan Mini-Cog. Kaedah ini cenderung untuk menentukan sama ada pesakit memang ada demensia. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa masalah dengan cara kajian-kajian dilaksanakan dari segi orang yang disertakan dan cara kiraan Mini-Cog, yang boleh menampilkan Mini-Cog lebih tepat dari sebenarnya. Kami memutuskan adalah tidak tepat untuk mengumpulkan kajian-kajian bagi menjelaskan prestasi purata Mini-Cog kerana perbezaan-perbezaan antara kajian.

Kepada siapa keputusan ulasan ini boleh diaplikasi?

Kajian yang termasuk dalam kajian ini dilakukan di AS, Jerman, dan Brazil. Dua kajian menyertakan pesakit yang dirujuk kepada pakar untuk menilai kemahiran berfikir dan memori, dan satu kajian merekrut individu yang menghadiri klinik pesakit luar perubatan. Peratusan orang dengan diagnosis akhir demensia adalah di antara 32% dan 87% (purata 64%).

Apakah implikasi ulasan ini?

Bilangan kecil kajian dan variasi cara guna Mini-Cog mengehadkan bukti untuk mengesyorkan Mini-Cog, dan mencadangkan ia mungkin bukan ujian terbaik untuk disyorkan penggunaannya dalam penjagaan sekunder pesakit dalam dan pesakit luar di persekitaran hospital .

Adakah ulasan ini mutakhir?

Penulis kajian mencari dan mempertimbang kajian-kajian yang diterbitkan hingga Mac 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information