Intervensi untuk meningkatkan kesedaran kanser payudara dalam kalangan wanita

Soalan ulasan
Pengulas melihat semula bukti tentang kesan intervensi yang berbeza untuk meningkatkan kesedaran kanser payudara dalam kalangan wanita. Pengulas menemui dua kajian terkawal rawak, kualiti bukti penyelidikan tertinggi.

Latar belakang
Kanser payudara merupakan kanser yang paling kerap didiagnosis dalam kalangan wanita. Pengesanan awal, diagnosis dan rawatan kanser payudara adalah langkah ke arah hasil yang lebih baik. Memandangkan ramai wanita akan menemui gejala payudara dengan sendiri, adalah penting bahawa mereka sedar tentang kanser payudara, iaitu mereka mempunyai pengetahuan, kemahiran dan keyakinan untuk melihat sebarang perubahan payudara dan berjumpa doktor mereka dengan segera.

Ciri-ciri kajian
Pencarian untuk kajian yang menyiasat kepada intervensi mengenai kesedaran kanser payudara dalam kalangan wanita telah dijalankan pada Januari 2016. Pengulas menemui dua kajian yang merangkumi sejumlah 997 wanita.

Kajian Promoting Early Presentation (PEP), yang dibiayai oleh Kanser Payudara UK, melibatkan 867 wanita yang secara rawak menerima salah satu daripada tiga intervensi: (1) buku bertulis dan penjagaan biasa, (2) buku bertulis dan penjagaan biasa serta perbincangan satu sama satu dengan ahli kesihatan profesional atau (3) penjagaan biasa sahaja. Wanita yang terlibat berumur di antara 67 hingga 70 tahun dan direkrut ke dalam kajian di unit saringan kanser payudara di UK.

Kajian Universiti Sains Perubatan Zahedan (ZUMS) melibatkan perawakan 130 wanita kepada dua kumpulan yang menerima sama ada: (1) program pendidikan menggunakan bahan bertulis dan lisan yang memberi tumpuan kepada "tingkah laku pencegahan kanser payudara" (contohnya mempunyai diet yang sihat dan kepercayaan positif terhadap tingkah laku pemeriksaan payudara sendiri) atau (2) tiada intervensi. Wanita yang terlibat bekerja di ZUMS adalah berumur di antara 35 dan 39 tahun.

Hasil utama
Hasil kajian dinilai secara berbeza bagi kedua-dua kajian. Kajian PEP menilai hasil pada satu bulan, satu tahun dan dua tahun selepas intervensi. Kajian ZUMS menilai hasil pada satu bulan selepas intervensi. Disebabkan oleh kajian yang sangat berbeza dari segi umur peserta, intervensi, hasil dan titik masa yang dinilai, hasil kajian dilaporkan secara berasingan.

Pengetahuan tentang gejala kanser payudara
Dalam PEP: pengetahuan wanita tentang gejala kanser payudara nampaknya bertambah baik selepas menerima sama ada buku bertulis atau buku bertulis beserta interaksi lisan. Hasil ini bertambah baik jika dibandingkan dengan penjagaan biasa pada dua tahun selepas intervensi. Dalam ZUMS: kesedaran wanita tentang gejala kanser payudara meningkat dalam masa sebulan selepas program pendidikan.

Pengetahuan tentang risiko kanser payudara yang berkaitan dengan usia
Dalam PEP: pengetahuan tentang risiko berkaitan dengan usia meningkat untuk wanita yang telah menerima buku bertulis dan berinteraksi dengan ahli kesihatan profesional berbanding penjagaan biasa pada dua tahun selepas intervensi. Bagi wanita yang hanya menerima buku bertulis, peningkatan pengetahuan yang setanding adalah kurang. Dalam ZUMS: kajian ini hanya menilai sama ada wanita menganggap diri mereka berisiko untuk menghidap kanser payudara. Persepsi diri terhadap risiko meningkat pada satu bulan selepas intervensi.

Pemeriksaan payudara yang dilaporkan sendiri
Dalam PEP: pemeriksaan payudara bulanan wanita yang dilaporkan meningkat, tetapi tidak ketara, pada dua tahun selepas intervensi berbanding penjagaan biasa. Dalam ZUMS: "tingkah laku pencegahan kanser payudara" wanita yang dilaporkan meningkat sebulan selepas intervensi. Secara khusus, ini merujuk kepada kepercayaan positif mereka terhadap tingkah laku pemeriksaan payudara sendiri.

Kesedaran kanser payudara secara keseluruhan
Dalam PEP: kesedaran kanser payudara wanita secara keseluruhan tidak berubah selepas menerima buku sahaja berbanding penjagaan biasa pada dua tahun selepas intervensi. Walau bagaimanapun, kesedaran kanser payudara meningkat dalam kalangan wanita yang telah menerima buku bertulis dan berinteraksi dengan ahli kesihatan profesional. Perubahan tingkah laku ini adalah setanding dengan penjagaan biasa pada dua tahun selepas intervensi. Dalam ZUMS: "tingkah laku pencegahan kanser payudara" wanita dilaporkan meningkat pada satu bulan.

Tiada kajian yang melaporkan mengenai bahagian lain kesedaran payudara, niat untuk mendapatkan rawatan, kualiti hidup, kesan buruk daripada intervensi, atau hasil yang berkaitan dengan kanser payudara.

Kualiti bukti
Bukti dipertimbangkan sebagai kualiti sederhana dalam kajian PEP dan kualiti rendah dalam kajian ZUMS. Kedua-dua kajian tidak mentakrifkan dengan jelas 'kesedaran kanser payudara'. Kekurangan kajian berkualiti tinggi membataskan keupayaan pengulas untuk membuat kesimpulan. Walau bagaimanapun, hasil kajian PEP mencadangkan bahawa gabungan antara maklumat bertulis dan perbincangan satu sama satu mempunyai kesan jangka panjang dalam meningkatkan kesedaran kanser payudara wanita. Pada masa hadapan, kajian harus menggunakan sampel yang lebih besar dan menyusuli wanita untuk masa yang lebih lama.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tang Kar Foong. Disunting oleh Ahmad Filza Ismai (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information