Levosimendan untuk mencegah pengurangan fungsi jantung dan kematian selepas pembedahan jantung dalam kalangan bayi dan kanak-kanak dengan penyakit jantung kongenital.

Latar belakang

Pengurangan fungsi jantung ialah salah satu komplikasi yang berpotensi membawa maut selepas pembedahan jantung dalam kalangan bayi dan kanak-kanak. Terdapat pelbagai ubat-ubatan sedia ada untuk pencegahan dan rawatan, tetapi ubat-ubatan tersebut boleh mencetuskan kesan sampingan yang serius. Levosimendan ialah pemeka kalsium yang meningkatkan fungsi pam jantung. Ia berpotensi mencetuskan kurang kesan sampingan daripada ubat-ubatan konvensional.

Soalan ulasan

Dalam ulasan ini, kami menilai sama ada penggunaan Levosimendan profilaktik mencegah pengurangan fungsi jantung dan kematian dalam kalangan bayi dan kanak-kanak selepas pembedahan penyakit jantung kongenital. Kami mencari pelbagai pangkalan data kesusasteraan literatur perubatan dan daftar kajian yang mengumpul maklumat kajian terancang, kajian yang sedang dilaksana dan juga kajian yang telah lengkap. Kami mempertimbangkan kajian-kajian di mana satu kumpulan menerima levosimendan manakala kumpulan yang kedua menerima ubat lain selepas pembedahan jantung. Dua penulis ulasan menyaring dan mengumpul data secara berasingan.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti lima kajian dengan jumlah 212 pesakit. Semua pesakit berumur di bawah lima tahun. Para pesakit telah diberi Levosimendan semasa atau sejurus selepas pembedahan jantung untuk tempoh 20 hingga 72 jam. Mereka telah dipantau selama 20 jam hingga enam hari. Kami meminta semua penulis maklumat tambahan tentang kajian-kajian mereka. Semua kecuali seorang memberi respon. Bukti adalah terkini setakat Jun 2016.

Kualiti bukti

Kami menemui bukti berkualiti rendah untuk semua hasil. Hal ini disebabkan oleh bilangan pesakit yang kecil (ketidaktepatan keputusan yang tinggi). Oleh itu, semua keputusan meta-analisis perlu ditafsirkan dengan cermat.

Hasilan utama

Data sedia ada tidak menunjukkan perbezaan yang jelas antara Levosimendan dengan ubat-ubtan konvensional dalam mencegah pengurangan fungsi jantung dan kematian selepas pembedahan jantung dalam golongan populasi yang dikaji. Kami juga mendapati tiada perbezaan yang jelas dari segi tempoh inap di unit rawatan rapi. Data sedia ada tidak membolehkan kami menilai sama ada satu rawatan lebih baik daripada yang lain untuk tiga hasil sekunder: tempoh inap di hospital, tempoh penggunaan pengudaraan mekanikal, keperluan untuk peranti sokongan peredaran darah atau keperluan untuk pemindahan jantung. Secara keseluruhan, tidak banyak kesan sampingan yang dilaporkan dalam setiap kumpulan. Kami tidak dapat mengumpul data untuk menghasilkan maklumat yang berguna tentang keselamatan Levosimendan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Chew Jia En (Penang Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi jiaen_c2017@ms.pmc.edu.my

Tools
Information