Terapi cahaya untuk mencegah kemurungan di musim sejuk

Mengapakah ulasan ini penting?

Ramai orang di latitud utara mengalami kesedihan musim sejuk, yang berlaku akibat tindakbalas kepada kekurangan cahaya matahari. Tiga suku daripada mereka yang terlibat adalah wanita. Kelesuan, makan berlebihan, ketagihan untuk karbohidrat dan perasaan tertekan adalah gejala lazim. Untuk sesetengah orang, kesedihan musim sejuk menjadi kemurungan, yang menjejaskan kehidupan seharian mereka dengan serius. Sehingga dua pertiga orang mengalami gejala kemurungan setiap musim sejuk.

Siapakah yang berminat dalam ulasan ini?

Sesiapa yang pernah mengalami kemurungan musim sejuk, atau yang mempunyai saudara-mara dan rakan-rakan yang pernah mengalami kemurungan musim sejuk.

Apakah soalan yang ingin dijawab oleh ulasan ini?

Memandangkan pola kemurungan adalah bermusim dan kadar ulangan yang tinggi, terapi cahaya semasa musim luruh dan musim sejuk boleh membantu untuk mencegah suasana murung. Matlamat ulasan ini adalah untuk mengetahui sama ada terapi cahaya boleh mencegah permulaan kemurungan musim sejuk apabila ia digunakan dalam kalangan orang sihat yang mempunyai sejarah kemurungan musim sejuk, dan jika terapi tersebut adalah selamat. Setakat ini, soalan ini tidak diperiksa dengan cara yang sistematik, tetapi ia adalah penting bagi mereka yang pernah mengalami kemurungan musim sejuk.

Kajian manakah yang telah dimasukkan dalam ulasan ini?

Kami telah mencari pangkalan data sehingga Ogos 2015 untuk kajian mengenai terapi cahaya bagi mencegah kemurungan musim sejuk. Di antara 2986 rekod, kami mendapati satu kajian rawak terkawal yang memasukkan 46 orang yang menerima terapi cahaya atau tiada rawatan. Semua individu dalam kajian ini mempunyai sejarah kemurungan musim sejuk.

Apakah yang ditunjukkan oleh bukti daripada ulasan ini?

Kualiti bukti untuk semua hasil adalah rendah, jadi kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan sama ada terapi cahaya adalah berkesan dalam mencegah kemurungan musim sejuk. Kajian ini tidak memberi maklumat tentang kesan sampingan terapi cahaya.

Paa doktor perlu berbincang dengan pesakit untuk mempertimbangkan kebaikan dan keburukan rawatan pencegahan terapi cahaya dan rawatan pencegahan lain yang berpotensi mencegah kemurungan musim sejuk, seperti rawatan ubatan, terapi psikologi atau intervensi gaya hidup. Oleh kerana tiada kajian yang membandingkan rawatan-rawatan ini, pilihan pesakit perlu diambil kira.

Apa yang perlu berlaku seterusnya?

Penulis ulasan mengesyorkan bahawa kajian masa depan harus membandingkan terapi cahaya dengan rawatan lain seperti rawatan ubatan, terapi psikologi atau intervensi gaya hidup untuk menentukan rawatan yang terbaik bagi mencegah kemurungan musim sejuk.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Raymond Chieng Siang Ching (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal. Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi raymondchieng@gmail.com.

Tools
Information
Share/Save