Suntikan darah atau PRP autologus untuk sakit siku sisi

Latar belakang

Sakit siku sisi, juga dikenali sebagai 'tennis elbow' atau epicondilitis sisi, ialah penyakit tendon degeneratif (perubahan struktur tisu berkaitan usia) pada tempat otot extensor lengan yang melekat pada bahagian luar siku. Ia adalah punca biasa bagi kesakitan dan kehilangan upaya siku, kebiasaannya pada orang pertengahan umur.

Suntikan darah dan plasma kaya platelet (PRP) autologous telah dicadangkan untuk meningkatkan penyembuhan tendon. Darah autologous diperoleh daripada sampel darah vena orang itu sendiri (darah diambil daripada vena), dan PRP ialah plasma dan platelet pekat yang diasingkan daripada darah autologous.

Kajian ini bertujuan untuk mengkaji bukti mengenai faedah dan kemudaratan suntikan darah atau PRP autologous untuk rawatan sakit siku sisi.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari di MEDLINE, CENTRAL, Embase, Clinicaltrials.gov dan pendaftaran kajian WHO, tanpa had tarikh atau bahasa, pada 18 September 2020.

Kami memasukkan 32 kajian melibatkan 2337 peserta. Purata umur bervariasi antara 36 tahun dan 53 tahun, dan purata tempoh gejala adalah antara 1 bulan hingga 22 bulan. Daripada 21 kajian yang melaporkan jantina, 56% peserta adalah wanita. Antara kajian yang disertakan, tiga kajian telah dibiayai oleh pengeluar sistem pengemparan PRP; dua kajian telah disediakan kit PRP; dan satu kajian menerima pembiayaan daripada pengeluar kit PRP.

Penemuan utama

Perbandingan dengan plasebo pada tiga bulan mendedahkan perkara berikut.

Kesakitan (skor rendah bermakna kurang kesakitan) (8 kajian, 523 peserta; bukti kepastian sederhana).

Kesakitan bertambah baik sebanyak 2% (3% lebih teruk sehingga 6% lebih baik) atau 0.16 mata pada skala sifar hingga 10.

• Orang yang menerima plasebo menilai sakit mereka sebanyak 3.7 mata.

• Orang yang menerima suntikan darah atau PRP autologus menilai kesakitan mereka sebanyak 3.9 mata.

Fungsi (0 hingga 100; markah yang lebih rendah bermakna fungsi yang lebih baik atau kurang ketidakupayaan) (8 kajian, 502 peserta; bukti kepastian sederhana).

Fungsi bertambah baik sebanyak 2% (5% lebih baik sehingga 1% lebih teruk), atau 2 mata pada skala sifar hingga 100.

• Orang yang menerima plasebo menilai fungsi mereka sebagai 27 mata.

• Orang yang menerima suntikan darah atau PRP autologus menilai fungsi mereka sebanyak 29 mata.

Kejayaan rawatan (4 kajian, 372 peserta; bukti berkepastian sangat rendah).

Lebih 0% pesakit menilai rawatan mereka sebagai berjaya (11% kurang hingga 12% lebih banyak), atau lebih 0 lagi orang daripada 100.

• 65 daripada 100 orang menganggap rawatan sebagai berjaya setelah suntikan plasebo.

• 67 daripada 100 orang menganggap rawatan sebagai berjaya selepas suntikan darah atau PRP autologus.

Kualiti hidup berkaitan kesihatan (skor lebih tinggi bermakna kualiti hidup lebih baik).

Tiada kajian yang mengukur hasil ini.

Kelegaan kesakitan (> 30% atau > 50%).

Tiada kajian melaporkan hasil ini pada tiga bulan.

Penarikan diri kerana kejadian buruk (1 kajian, 80 peserta; bukti berkepastian sangat rendah).

5% kurang orang telah menarik diri daripada kajian kerana kejadian buruk (7.5% kurang kepada 14.8% lebih), atau kurang 5 orang daripada 100.

• 7 daripada 100 orang menarik diri daripada kajian kerana kejadian buruk selepas suntikan plasebo.

• 2 daripada 100 orang menarik diri daripada kajian kerana kejadian buruk selepas suntikan darah atau PRP autologous.

Kejadian buruk (biasanya kesakitan sementara tempat suntikan) (5 kajian, 425 peserta; bukti berkepastian rendah).

2% lebih ramai orang mengalami kejadian buruk (4% kurang hingga 11% lebih ramai), atau 2 orang lebih daripada 100.

• 17 daripada 100 orang melaporkan kejadian buruk selepas suntikan plasebo.

• 19 daripada 100 orang melaporkan kejadian buruk selepas suntikan darah atau PRP autologous.

Kepastian bukti

Bagi orang yang mengalami sakit siku sisi, bukti berkepastian sederhana (diturun taraf untuk berat sebelah, iaitu kekurangan metodologi dalam kajian yang disertakan) menunjukkan bahawa suntikan darah atau PRP autologus mungkin memberikan sedikit atau tiada manfaat klinikal penting untuk kesakitan atau fungsi berbanding dengan suntikan plasebo, dan bukti berkepastian rendah (diturun taraf kerana risiko berat sebelah, iaitu kekurangan metodologi; dan ketidaktepatan, iaitu terlalu sedikit data untuk menganggarkan perbezaan yang tepat) menunjukkan bahawa suntikan darah atau PRP autologous mungkin tidak menyebabkan risiko yang lebih tinggi untuk kejadian buruk. Kami tidak pasti sama ada suntikan darah atau PRP autologous dikaitkan dengan perkadaran lebih tinggi orang yang melaporkan kejayaan rawatan, atau jika rawatan ini meningkatkan penarikan diri akibat kejadian buruk.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information