Pemfluoridaan bekalan air untuk pencegahan kerosakan gigi

Latarbelakang

Kerosakan gigi adalah masalah sejagat melibatkan orang dewasa dan kanak-kanak.Kerosakan gigi yang tidak dirawat boleh menyebabkan sakit dan gigi terpaksa dicabut.Di kebanyakan tempat di dunia, kerosakan gigi sudah berkurangan. Namun kanak-kanak dari latarbelakang miskin masih mempunyai tahap kerosakan yang lebih.Fluorida adalah mineral yang mencegah kerosakan gigi.Ia wujud secara semulajadi pada tahap yang berbeza-beza.Fluorida boleh ditambah ke dalam air untuk tujuan mencegah kerosakan gigi.Fluorida terdapat dalam kebanyakan ubat gigi dan ubat kumur mulut, varnis dan gel. Jika kanak-kanak tertelan terlalu banyak fluorida semasa gigi kekal sedang membentuk, ada risiko terjadi tanda-tanda pada gigi-gigi yang sedang membentuk. Kejadian ini dipanggil fluorosis.gigi.Kebanyakan fluorosis adalah sedikit dengan garis-garis putih yang samar atau jalur-jalur putih yang hanya dapat dilihat oleh doktor gigi di klinik.Fluorosis yang lebih ketara, walau kurang lazim, boleh mempengaruhi kebimbangan tentang rupa bentuk gigi.

Soalan ulasan

Kami menjalankan ulasan ini untuk menilai kesan fluorida di dalam air (fluorida tambahan atau wujud semulajadi) ke atas pencegahan kerosakan gigi dan tanda-tanda pada gigi (fluorosis gigi).

Ciri kajian

Kami mengulas 20 kajian tentang kesan pemfluoridaan air ke atas kerosakan gigi dan 135 kajian tentang fluorosis gigi. Bukti ini dikemaskini sehingga 19 Februari 2015.

Sembilan belas kajian menilai kesan bermulanya skim pemfluoridaan.Mereka membandingkan kerosakan gigi di dua komuniti sekitar masa pemfluoridaan bermula di salah satu komuniti tersebut.Selepas beberapa tahun, penyelidikan yang kedua dibuat untuk melihat perbezaannya. Lebihkurang 70% kajian-kajian ini dijalankan sebelum 1975.Kajian yang lebih baru membandingkan komuniti berfluorida dan yang tidak mendapat fluorida juga telah dijalankan. Kami tidak memasukkan kajian tersebut dalam ulasan ini kerana mereka tidak menjalankan penyelidikan awal tentang tahap kerosakan gigi sekitar masa pemfluoridaan bermula, lantas tidak dapat menilai perubahan tahap kerosakan gigi sejak itu. Kami mengulas satu kajian yang membandingkan kerosakan gigi di dua kawasan berfluorida sebelum pemfluoridaan dihentikan dalam salah satu kawasan tersebut.Selepas beberapa tahun, penyelidikan yang kedua juga dijalankan untuk melihat perbezaannya.

Hampir 73% kajian fluorosis gigi dijalankan di tempat yang mendapat fluorida semulajadi - tidak ditambah fluorida ke dalam air. Sesetengah kawasan mempunyai paras fluorida hingga 5 bahagian per juta (ppm)

Keputusan utama

Ulasan kami mendapati pemfluoridaan air berkesan mengurangkan kerosakan gigi dalam kalangan kanak-kanak.Pemfluoridaan air menghasilkan 35% pengurangan kerosakan, kehilangan dan tampalan gigi susu dan pengurangan 26% kerosakan, kehilangan dan tampalan gigi kekal.Kami juga mendapati pemfluoridaan menunjukkan 15% pertambahan kanak-kanak yang tiada kerosakan gigi susu dan 14% pertambahan kanak-kanak yang tiada kerosakan gigi kekal.Keputusan ini kebanyakannya berasaskan kepada kajian-kajian lama yang mungkin tidak sesuai masa kini.

Dalam kajian-kajian 'sebelum dan selepas' yang dicari, kami tidak mendapati faedah pemfluoridaan air untuk orang dewasa. 

Kami tidak medapati maklumat yang cukup bagi keberkesanan menghentikan pemfluoridaan air.

Kami tidak mendapati maklumat yang cukup untuk menentukan sama ada pemfluoridaan mengurangkan perbezaan tahap kerosakan gigi dalam kalangan kanak-kanak dari latarbelakang miskin dengan yang lebih mewah. 

Secara keseluruhan, keputusan kajian yang diulas mencadangkan sekitar 12%jumlah penduduk kemungkinan mengalami fluorosis gigi yang boleh menimbulkan kebimbangan rupabentuk gigi apabila tahap fluorida dalam air adalah 0.7ppm

Kualiti bukti

Kami menilai setiap kajian untuk kualiti kaedah yang diguna dan berapa lengkap keputusan yang dilapor.Kami meragui beberapa kaedah yang telah diguna atau laporan keputusan di alam hampir keseluruhan (97%) kajian.Misalnya, ramai pengkaji tidak melapor sepenuhnya faktor-faktor yang boleh mempengaruhi risiko kerosakan gigi kanak-kanak atau fluorosis gigi. Terdapat juga perbezaan besar di antara keputusan-keputusan kajian, yang mana banyak dijalankan sebelum ubat gigi berfluorida diperkenalkan. Oleh itu,adalah sukar meyakinkan kesan pemfluoridaan air ke atas kerosakan gigi ataupun bilangan orang yang mungkin mengalami fluorosis gigi pada tahap fluorida dalam air yang berbeza.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal) Disunting oleh Lai Nai Ming (School of Medicine, Taylor's University, Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan