Rawatan untuk buku lali yang patah dalam kalangan kanak-kanak

Latar belakang

Buku lali yang patah, juga dipanggil fraktur buku lali, melibatkan patah pada satu atau lebih daripada tiga tulang yang membentuk buku lali. Ia sering berpunca daripada buku lali yang terpiuh. Fraktur buku lali adalah kecederaan lazim dalam kalangan kanak-kanak. Sesetengah fraktur tulang adalah kecil, dan tulang-tulang kekal di tempatnya. Fraktur yang lebih serius seperti apabila tulang yang patah tersesar antara satu sama lain, bahkan terkeluar melalui kulit. Fraktur ini boleh mempengaruhi cara tulang tumbuh. Gangguan serius pada plat pertumbuhan boleh mengakibatkan kecacatan kaki.

Fraktur kecil sering dirawat dengan meletakkan kaki yang cedera dalam splin gentian kaca yang boleh ditanggalkan atau tuangan plaster. Peranti ini juga boleh digunakan untuk beberapa fraktur yang tersesar selepas bahagian patah yang tersesar dimasukkan semula ke tempatnya. Walau bagaimanapun, fraktur tulang yang tersesar sering perlukan pembedahan. Pembedahan membolehkan pakar bedah meletakkan semula kepingan tulang yang patah ke tempat yang betul. Skru, plat dan pin sering diguna untuk memegang tulang di tempatnya. Kaki biasanya diletak dalam tuangan plaster sementara tulang sembuh.

Keputusan carian

Kami mencari pangkalan data perubatan sehingga September 2015 dan memasukkan tiga kajian rawak yang melaporkan hasil untuk 189 kanak-kanak. Semua kanak-kanak itu dianggap oleh doktor yang merawat mengalami fraktur kecil tulang buku lali yang berisiko rendah untuk komplikasi plat pertumbuhan.

Keputusan utama

Dua kajian membandingkan penggunaan pendakap buku lali pasang siap boleh tanggal dengan tuangan tegar. Satu kajian mengguna splin gentian kaca boleh tanggal selama dua minggu, dan satu lagi kajian menggunakan tuangan plaster bawah lutut untuk berjalan selama tiga minggu. Kedua-dua kajian memberi beberapa bukti pemulihan yang lebih cepat bagi fungsi yang dilapor sendiri pada empat minggu dalam kalangan kanak-kanak yang dirawat dengan pendakap buku lali berbanding mereka yang dirawat dengan tuangan tegar. Satu kajian melaporkan lebih komplikasi, seperti tanda tekanan dan lepuh dalam kumpulan pendakap. Kebanyakannya dikaitkan dengan stokin pelindung yang tidak dipakai dengan pendakap. Kajian lain melaporkan lebih banyak lawatan tidak berjadual kepada penyedia penjagaan kesihatan untuk masalah dalam kumpulan tuangan tegar. Dalam kajian ini, kanak-kanak lebih suka pendakap, yang boleh tanggal selepas lima hari, berbanding tuangan yang kekal untuk tiga minggu. Tiada kajian melaporkan keputusan jangka panjang.

Kajian ketiga membandingkan pembalut Tubigrip bersama tongkat dan nasihat berbanding tuangan plaster of Paris untuk berjalan selama dua minggu. Kajian ini menemui beberapa bukti lemah tentang kembali lebih awal kepada aktiviti terdahulu sekitar enam hari (14 berbanding dengan 20 hari) dalam kalangan kanak-kanak dalam kumpulan Tubigrip. Kajian tidak melaporkan komplikasi atau hasil jangka panjang.

Kualiti bukti

Ketiga-tiga kajian mempunyai kelemahan yang boleh menjejaskan kebolehpercayaan keputusannya. Kami menganggap secara am bukti adalah berkualiti rendah atau sangat rendah, yang bermaksud kami tidak pasti tentang keputusan ini.

Kesimpulan

Menggunakan pendakap buku lali berbanding tuangan tegar khususnya tuangan untuk berjalan yang tidak boleh tanggal boleh menghasilkan pemulihan lebih cepat dalam kalangan kanak-kanak yang mengalami fraktur buku lali yang kecil. Kajian lanjut diperlukan untuk mengenal pasti rawatan terbaik untuk fraktur buku lali dalam kalangan kanak-kanak.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information