Ubat anestetik untuk kardioversi


Latar belakang

Kardioversi elektrik ialah prosedur di mana pad pada dada bertujuan untuk mengembalikan jantung kepada irama normal berikutan gangguan. Prosedur ini menyakitkan dan boleh menyusahkan pesakit; oleh itu ubat-ubatan digunakan untuk membuat pesakit tidak sedar tentang prosedur tersebut. Kami berhasrat untuk membandingkan keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan yang digunakan dalam kardioversi elektrik.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga 27 Mei 2014. Kami menemui 23 kajian rawak terkawal yang berkaitan dengan 1250 peserta menjalani prosedur kardioversi. Kajian-kajian ini membandingkan satu ubat anestetik dengan satu atau lebih ubat lain, termasuk propofol, etomidate, thiopentone, sevoflurane, midazolam dan diazepam.

Keputusan utama

Penulis kajian mempertimbangkan hasil klinikal seperti penurunan tekanan darah, pernafasan terganggu dan sama ada kardioversi berjaya, serta hasil yang berkaitan dengan pesakit seperti ingat semula, loya dan muntah, sakit semasa suntikan dan kepuasan dengan prosedur. Sebagai tambahan kepada pelbagai perbandingan ubat antara kajian, perbezaan dalam kaedah kajian telah dihuraikan, dengan ubat diberikan dalam dos yang berbeza dan dalam tempoh masa yang berbeza. Perbezaan ini bermakna adalah tidak sesuai untuk menggabungkan keputusan kajian-kajian ini.


Kualiti bukti

Kami percaya bahawa kualiti kajian-kajian ini tidak cukup tinggi, dan ia akan mengelirukan untuk menggabungkan penemuan semua kajian dalam ulasan ini. Penulis kajian tidak mengambil langkah yang mencukupi untuk mengurangkan risiko perbezaan kaedah dalam kajian, contohnya, dengan menopengkan doktor dan penilai mengenai ubat yang diberikan kepada setiap pesakit.

Kesimpulan

Kebanyakan penulis kajian individu membuat kesimpulan bahawa semua ejen yang dikaji adalah mencukupi untuk membuat pesakit tidak sedar semasa kardioversi. Pada pendapat kami, pada masa ini, tiada bukti yang menunjukkan bahawa ubatan yang digunakan oleh pakar bius untuk membuat pesakit tidak sedar tentang kardioversi harus berubah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information