Bolehkan produk yang menggunakan xylitol seperti gula-gula, manisan, gula-gula getah dan ubat gigi membantu mencegah kerosakan gigi dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa?

Soalan ulasan

Ulasan ini dihasilkan untuk menilai sama ada xylitol sejenis pemanis semulajdi yang digunakan dalam produk seperti gula-gula, manisan, gula-gula getah dan ubat gigi dapat membantu mencegah kerosakan gigi dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa.

Latarbelakang

Kerosakan gigi adalah penyakit lazim yang mempengaruhi lebih 90% kanak-kanak dan orang dewasa di seluruh dunia.Impaknya terhadap kualiti kehidupan menyebabkan ribuan kanak-kanak memerlukan rawatan pergigian dengan anestesia umum di hospital. Namun, ia boleh dicegah dan dirawat dengan amalan kesihatan oral yang baik seperti memberus gigi secara teratur dengan ubat gigi berfluorida dan mengurangkan pengambilan minuman dan makanan manis.Jika dibiarkan, bakteria dalam mulut yang menyebabkan kerosakan boleh membiak dan melekat kepada permukaan gigi menghasilkan filem melekit.Kemudian, apabila gula dimakan atau diminum, bakteria dalam filem boleh menghasilkan asid dan menyebabkan kerosakan gigi.

Xylitol adalah pemanis semulajadi, yang sama manis dengan gula biasa (sukros). Selain dari menyediakan alternatif kepada gula, ia mempunyai keupayaan yang dianggap dapat membantu mencegah kerosakan gigi, misalnya meningkatkan penghasilan air liur dan mengurangkan pertumbuhan bakteria dalam mulut agar kurang asid terhasil.

Dalam manusia, xylitol boleh menyebabkan kesan sampingan seperti kembung, angin dan cirit-birit.

Ciri kajian

Penulis Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane membuat ulasan kajian-kajian sedia ada dan bukti adalah terkini sehingga 14 Ogos 2014. Ulasan ini memasukkan 10 kajian yang diterbitkan dari 1991 hingga 2014, melibatkan 7969 peserta secara rawak (5903 peseerta dimasukkan dalam analisis) yang diberi produk xylitol atau plasebo (produk gantian tanpa xylitol) atau tiada rawatan sama sekali dan jumlah kerosakan gigi dibandingkan. Hanya satu kajian melibatkan orang dewasa manakala yang lain melibatkan kanak-kanak berumur 1 bulan hingga 13 tahun.Produk yang diuji adalah dari jenis yang diletak di dalam mulut dan dihisap (lozeng, tablet hisapan dan gula-gula) atau lepasan perlahan melalui puting dan juga ubat gigi, sirap dan sapuan.

Keputusan utama

Terdapat bukti untuk menyokong cadangan penggunaan ubat gigi dengan xylitol mungkin boleh mengurangkan kerosakan gigi kekal dalam kanak-kanak sebanyak 13% dalam tempoh 3 tahun berbanding ubat gigi yang hanya ada fluorida. Dalam tempoh ini, tiada kesan sampingan yang dilaporkan dalam kanak-kanak.Bukti yang selebihnya tidak membolehkan kami membuat rumusan bahawa produk lain yang mengandungi xylitol boleh mencegah kerosakan gigi dalam kalangan bayi, kanak-kanak atau orang dewasa.

Kualiti bukti

Bukti yang didapati adalah berkualiti rendah atau sangat rendah kerana jumlah kecil kajian sedia ada, keputusan yang tidak pasti, dan isu-isu tentang kaedah kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Lai Nai Ming, (School of Medicine, Taylor's University, Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my.

Tools
Information