Rawatan surgikal berbanding bukan surgikal untuk nanah di ruang sekitar paru-paru.

Soalan sorotan

Kami menyiasat jika terdapat perbezaan hasil dalam kalangan pesakit yang membentuk nanah di ruang sekitar paru-paru (empiema) yang dirawat secara surgikal berbanding dengan mereka yang dirawat secara bukan surgikal. Kami melihat perbezaan-perbezaan dalam perkadaran kanak-kanak dan orang dewasa yang mandiri, tempoh di dalam hospital, dan komplikasi rawatan.

Latar belakang

Nanah boleh terbentuk dalam ruang di sekitar paru-paru berikutan pneumonia, komplikasi trauma dinding dada, atau surgeri. Pembahagi pepejal yang dipanggil lokulasi boleh terbentuk dalam nanah tersebut. Jangkitan ini biasanya tidak sembuh dengan rawatan antibiotik sahaja.

Terdapat beberapa jenis rawatan surgikal dan bukan surgikal. Rawatan bukan surgikal termasuklah penyaliran nanah melalui jarum yang dimasukkan melalui dinding dada (torasentesis) atau memasukkan tiub melalui dinding dada untuk menyalirkan jangkitan (torakostomi).Jika tiub dimasukkan ke dalam dada, ubat-ubat boleh disuntik ke dalam ruang di sekitar paru-paru untuk memecahkan pembahagi-pembahagi tersebut. Ini dipanggil fibrinolisis. Rawatan bukan surgikal boleh mendatangkan kemudaratan, seperti kemasukan udara ke dalam ruang di sekitar paru-paru, kerosakan tisu dada, atau paru-paru dipenuhi bendalir ketika mengembang semula. Rawatan surgikal melibatkan pembukaan kaviti dada dan membersihkan jangkitan (torakotomi), atau pembersihan jangkitan melalui insisi kecil pada dinding dada dengan bantuan kamera, dikenali sebagai surgeri torakoskopik dengan bantuan video (video-assisted thoracoscopic surgery (VATS). Tiub dada boleh menyalirkan bendalir yang terkumpul selepas surgeri. Risiko surgeri termasuklah udara dalam ruang di sekitar paru-paru, sakit tulang rusuk, dan komplikasi anestetik.

Tarikh carian

Bukti-bukti adalah terkini sehingga Oktober 2016.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan lapan kajian dengan jumlah 391 peserta. Enam daripada kajian tersebut melibatkan kanak-kanak, manakala dua kajian melibatkan orang dewasa. Kajian-kajian tersebut membandingkan penyaliran melalui tiub dada (bukan surgikal), dengan atau tanpa fibrinolisis, dengan salah satu daripada VATS atau torakotomi (surgikal).

Sumber dana kajian

Dua kajian mengisytiharkan tiada kepentingan konflik kewangan; enam kajian lagi tidak melaporkan sumber dana.

Keputusan utama

Tiada perbezaan dalam perkadaran pesakit pada semua umur yang mandiri empiema selepas rawatan surgikal atau bukan surgikal. Namun, dapatan ini berdasarkan data yang terhad: satu kajian melaporkan satu kematian bagi setiap opsyen rawatan, manakala tujuh yang lain melaporkan tiada kematian.Tidak terdapat perbezaan dalam kadar komplikasi antara pesakit yang dirawat secara surgikal dan bukan surgikal.

Terdapat bukti terhad untuk mencadangkan VATS mengurangkan tempoh tinggal di hospital berbanding rawatan bukan surgikal.

Kualiti bukti

Secara keseluruhan kualiti bukti adalah sederhana. Limitasi utama adalah kekurangan bilangan kajian dalam setiap analisis dan ketakkonsistenan antara kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Wing (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi jame5wtan93@gmail.com

Tools
Information