Bolehkah latihan jasmani meningkatkan pengaliran darah melalui vena?

Latar belakang

Vena adalah sejenis salur darah yang membawa darah daripada badan kembali ke jantung (juga dipanggil darah vena pulangan ). Proses ini dibantu oleh pengecutan beberapa pam otot di bahagian kaki. Masalah vena atau pam otot di bahagian kaki dalam sesetengah orang boleh mengganggu proses tersebut boleh, dan mengakibatkan keadaan yang dikenali sebagai kelemahan vena kronik (CVI). CVI boleh menyebabkan kesakitan, edema (retensi cecair dan bengkak) dan ulser kaki,dan boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang. Kajian menunjukkan rawatan, seperti latihan jasmani yang bertujuan untuk meningkatkan pergerakan sendi buku lali dan mengukuhkan pam otot pada betis kaki boleh membantu mencegah penyakit serta konsekuennya menjadi bertambah buruk. Kami telah meneliti bukti yang menyokongan latihan jasmani sebagai rawatan untuk CVI.

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Ulasan ini memasukkan dua kajian klinikal, melibatkan seramai 54 peserta, yang membandingkan secara langsung kesan latihan jasmani dengan intervensi kawalan (bukti adalah terkini sehingga Mei 2016). Satu kajian melaporkan bahawa tiada perbezaan antara kumpulan senaman dan kumpulan kawalan manakala kajian kedua melaporkan pengurangan gejala dalam kumpulan senaman. Pada penghujung kajian, terdapat peningkatan pulangan darah vena dalam kumpulan senaman berbanding dengan kumpulan kawalan. Kajian terlibat tidak melaporkan kes baru ulser kaki vena. Tiada perbezaan di antara kumpulan senaman dan kumpulan kawalan dari aspek kualiti hidup peserta, julat pergerakan sendi buku lali atau kekuatan otot keseluruhan. Peningkatan pulangan darah vena dalam kumpulan senaman secara keseluruhan mencadangkan bahawa latihan jasmani dapat meningkatkan pengaliran darah dalam kalangan pesakit CVI, namun kami mendapati risiko bias yang tinggi akibat bias perawakan atau 'blinding' dalam kedua-dua kajian. Oleh itu, kami berpendapat bahawa maklumat pada masa kini tidak mencukupi untuk menentukan keberkesanan latihan jasmani dalam pengurusan CVI.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti keseluruhan sebagai sangat rendah: kedua-dua kajian yang terlibat adalah kecil (dengan jumlah 54 peserta) dan berisiko bias tinggi berdasarkan kaedah 'blinding' atau perawakan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Zcho Huey (Penang Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi zchohuey_c2017@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan