Pembedahan tiroid untuk penyakit Graves dan oftalmopati Graves

Soalan ulasan

Tujuan ulasan ini adalah untuk membandingkan teknik pembedahan yang berbeza untuk rawatan penyakit Graves. Kami ingin menangani sama ada pembedahan membuang seluruh kelenjar thyroid (tiroidektomi total) adalah lebih baik daripada membuang sebahagian besar kelenjar (tiroidektomi subtotal) untuk mengawal peningkatan aktiviti tiroid (hipertiroidisme) dan gejala-gejala mata yang berkaitan dengan penyakit Graves.

Latar belakang

Penyakit Graves adalah keadaan lazim yang mempengaruhi kelenjar tiroid, yang berperanan penting dalam mengawal metabolisme badan. Sistem imun badan sendiri menyerang kelenjar tiroid dan menyebabkan ia bekerja lebih keras. Aktiviti berlebihan ini boleh membawa kepada peningkatan risiko serangan jantung dan strok jika tidak dirawat untuk jangka masa yang panjang. Penyakit Graves juga menyebabkan protrusi mata dan boleh mengehadkan pergerakan mata (oftalmopati Graves). Penyakit Graves umumnya dirawat dengan ubat sahaja atau kadangkala dengan radiasi atau pembedahan. Sejak tahun kebelakangan, terdapat peningkatan minat dalam pembedahan untuk penyakit Graves dan masalah tiroid lain, kerana hasil pembedahan dan kualiti hidup yang berkaitan kesihatan dilihat menjaminkan. Namun, terdapat kontroversi mengenai teknik pembedahan yang terbaik, kerana jumlah tiroidektomi dapat memberikan kawalan jangka panjang penyakit yang lebih baik, berbanding dengan tiroidektomi subtotal, tetapi berisiko komplikasi lebih besar selepas pembedahan, seperti kerosakan saraf laringeal(menyebabkan disfungsi pita suara).

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti lima kajian rawak terkawal yang relevan kepada soalan ulasan yang secara langsung membandingkan teknik pembedahan tiroidektomi yang berbeza. Sejumlah 886 peserta dimasukkan dalam kajian dan susulan adalah antara enam bulan dan enam tahun. Kesemua lima kajian dijalankan di hospital universiti atau pusat rujukan tertiari untuk penyakit tiroid. Negara-negara yang terlibat ialah Jerman, Sweden, Poland dan Taiwan. Tiada kajian dilakukan di persekitaran pesakit luar.

Keputusan utama

Tiroidektomi total mungkin memberi kawalan yang lebih baik terhadap hipertiroidisme berbanding tiroidektomi subtotal (8 atau 9 orang daripada 1000 akan mengalami perulangan hipertiroidisme selepas tiroidektomi total berbanding 55 hingga 67 orang daripada 1000 selepas tiroidektomi subtotal). Terdapat beberapa bukti yang mencadangkan pengekalan kalsium darah rendah (hipoparatiroidisme) adalah lebih tinggi dalam tiroidektomi total berbanding tiroidektomi subtotal (59 orang daripada 1000 selepas tiroidektomi total berbanding dengan 14 orang daripada 1000 selepas tiroidektomi subtotal akan mengalami kesan sampingan ini). Gejala-gejala mata serta kerosakan kekal pada saraf laringeal dilihat tiada kaitan dengan pilihan teknik pembedahan. Kematian jarang dilaporkan dalam kajian-kajian yang disertakan. Tiada kajian yang menilai kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan atau kesan sosioekonomi (seperti tidak hadir bekerja).

Kualiti bukti

Kajian-kajian dalam ulasan ini mempunyai kurang bukti yang berkualiti tinggi. Beberapa risiko bias dapat dilihat seperti pengukuran objektif hasil tanpa mengetahui peruntukan peserta kepada kumpulan intervensi (tiroidektomi total atau subtotal ) dan kesukaran mengetahui sama ada hasil yang dirancang dalam kajian-kajian benar-benar dilaporkan dalam penerbitan kajian-kajian ini. Juga, kadar hasil (kadar peristiwa) adalah agak rendah, menjadikan anggaran kami tentang perbezaan antara teknik pembedahan tidak tepat. Akhirnya, semua tiroidektomi dilakukan oleh pakar bedah yang berpengalaman dan tidaklah diketahui sama ada keputusan yang dijelaskan adalah sama di dalam persekitaran lain.

Status bukti

Ringkasan bahasa yang mudah ini adalah terkini sehingga 22 Jun 2015.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information