Pembalut untuk merawat ulser kaki pada penghidap diabetes

Latar belakang

Diabetes mellitus (biasanya dikenali sebagai 'diabetes'), apabila tidak dirawat, menyebabkan peningkatan paras gula (glukosa) dalam darah. Ia adalah isu kesihatan yang serius yang menjejaskan berjuta-juta orang di seluruh dunia (sebagai contoh, hampir dua juta orang di UK dan 24 juta orang di Amerika Syarikat). Ulser kaki adalah masalah biasa bagi penghidap diabetes; sekurang-kurangnya 15% orang yang menghidap diabetes mempunyai ulser kaki pada sesuatu masa dalam tempoh hidup mereka. Pembalut luka digunakan secara meluas dalam penjagaan ulser ini. Terdapat pelbagai jenis pembalut yang tersedia, daripada pembalut sentuhan luka asas kepada gel, filem dan pembalut pakar yang lebih canggih yang mungkin tepu dengan bahan yang mempunyai sifat tertentu (seperti aktiviti anti-mikrob). Memandangkan pilihan yang luas ini, gambaran keseluruhan yang jelas dan terkini tentang bukti penyelidikan yang tersedia diperlukan untuk membantu pakar klinikal/pengamal perubatan memutuskan jenis pembalut yang akan digunakan.

Soalan ulasan

Apakah bukti bahawa jenis pembalut luka yang digunakan untuk ulser kaki pada penghidap diabetes memberi kesan kepada penyembuhan?

Apa yang pengulas temui

Gambaran keseluruhan ini mengumpulkan dan meringkaskan bukti daripada 13 ulasan sistematik yang mengandungi 17 kajian rawak terkawal yang berkaitan (jenis kajian terbaik untuk soalan jenis ini) yang diterbitkan sehingga 2013. Secara kolektif, kajian ini membandingkan 10 jenis pembalut luka yang berbeza antara satu sama lain, menjadikan sejumlah 37 perbandingan berasingan. Cara yang berbeza dalam membandingkan jenis pembalut menyukarkan untuk menggabungkan dan menganalisis keputusan. Hanya empat daripada perbandingan yang dimaklumkan oleh data langsung menemui bukti perbezaan dalam penyembuhan ulser antara pembalut, tetapi keputusan ini dikelaskan sebagai bukti berkualiti rendah.

Tiada bukti jelas bahawa mana-mana jenis pembalut luka 'yang terkedepan’ adalah lebih baik daripada pembalut sentuhan luka asas untuk penyembuhan ulser kaki. Penemuan gambaran keseluruhan telah dihadkan oleh jumlah kecil maklumat yang tersedia (bilangan terhad kajian yang melibatkan bilangan peserta yang kecil).

Sehingga terdapat jawapan yang jelas tentang jenis pembalut yang menunjukkan prestasi terbaik untuk penyembuhan ulser kaki pada penghidap diabetes, faktor lain, seperti pengurusan klinikal luka, kos,serta keutamaan dan keselesaan pesakit, harus mempengaruhi pilihan pembalut.

Ringkasan bahasa mudah ini telah dikemas kini sehingga April 2015.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wan Anisa Hanim Binti Mohd Nasir@Azman (Klinik Pergigian Kok Lanas). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information