Adakah penambahan agen anti-leukotriena kepada kortikosteroid sedutan lebih baik daripada penggunaan kortikosteroid sahaja untuk merawat asma tegar?

Latar belakang: Dos harian kortikosteroid sedutan (KSS) yang rendah merupakan rawatan pelegaan awal yang disyorkan dalam kalangan orang dewasa dan remaja yang menghidap asma. Pesakit-pesakit yang mengalami ketidakcukupan pengawalan asma kerap kali dirawat melalui penambahan agen anti-leukotriena (LTRA) atau agonis-β2 tindak lama, atau peningkatan dos KSS.

Soalan ulasan: Adakah penambahan agen anti-leukotriena kepada KSS lebih baik daripada penggunaan KSS sahaja untuk bagi orang dewasa dan remaja berumur 12 tahun ke atas dengann asma tegar?

Ciri-ciri kajian: Kami menemukan 37 kajian (mewakili 6128 orang dewasa dan remaja). Peserta kajian-kajian tersebut menghidap asma ringan ke sederhana. Kebanyakan (24) kajian menggunakan LTRA yang dipanggil montelukast, 11 kajian menggunakan zafirlukast dan hanya dua kajian menggunakan pranlukast.

Kami membahagikan kesemua kajian ke dalam tiga kategori untuk membantu kami mentafsir bukti-bukti tersebut.

Anti-leukotriena dan KSS berbanding dos yang sama KSS: Sepuluh kajian (mewakili 2364 orang dewasa dan remaja) telah menyumbangkan data untuk analisis. Anti-leukotriena yang diberi dengan KSS mengurangkan separuh bilangan pesakit yang memerlukan steroid oral oleh sebab eksaserbasi (dari 9% ke 5% dalam tempoh tiga bulan), namun kami kurang pasti tentang kesan-kesan rawatan ini terhadap kualiti hidup atau kesan sampingan serius. Anti-leukotriena yang diberikan dengan KSS meningkatkan fungsi paru-paru dan langkah pengawalan asma.

Anti-leukotriena dan KSS berbanding KSS dos tinggi: Lapan kajian (mewakili 2008 orang dewasa dan remaja) menyumbangkan data untuk analisis. Keputusan menunjukkan tiada pengurangan bilangan pesakit dengan eksaserbasi yang memerlukan steroid oral dan tiada perbezaan dalam kualiti hidup atau kesan sampingan. Data menunjukkan tiada peningkatan dalam fungsi paru-paru ataupun langkah pengawalan asma.

Anti-leukotriena dan pengurangan dos KSS secara beransur-ansur berbanding pengurangan dos KSS sahaja secara beransur-ansur: Tujuh kajian (mewakiii 1150 orang dewasa dan remaja) menilai anti-leukotriena dan pengurangan dos KSS secara beransur-ansur, berbanding dengan pengurangan dos KSS secara beransur-ansur tanpa penggunaan agen anti-leukotriena. Pendekatan ini tidak memberi manfaat untuk mengurangkan peratusan kuantiti KSS menjangkaui masa. Lebih penerima anti-leukotriena dan KSS, berbanding dengan KSS sahaja mengalami peningkatan kesan sampingan serius dan tidak menunjukkan penambahbaikan fungsi paru-paru ataupun langkah-langkah pengawalan asma.

Kesimpulan: Dalam kalangan penghidap asma remaja dan orang dewasa yang tidak dikawal oleh KSS dos rendah harian, penambahan agen anti-leukotriena kepada KSS telah mengurangkan separuh bilangan pesakit asma dengan eksaserbasi yang memerlukan steroid oral. Anti-leukotriena dan KSS juga menambahbaik fungsi paru-paru dan pengawalan asma. Namun, kami tidak pasti sama ada kombinasi anti-leukotriena dan KSS adalah lebih baik daripada KSS dos tinggi. Bukti sedia ada yang terhad tidak menyokong penggunaan anti-leukotriena sebagai cara untuk mengurangkan dos KSS. Secara am, terapi penambahan anti-leukotriena kepada KSS tidak dikaitkan dengan peningkatan kesan sampingan, jika dos KSS dikekalkan.

Kualiti bukti: Keyakinan kami kepada bukti adalah sederhana atau rendah bagi kebanyakan hasil.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Wing (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi jame5wtan93@gmail.com.

Tools
Information