Rawatan kanser mulut dan tekak: terapi yang mensasarkan sel kanser dan terapi untuk menggalakkan sistem imun tubuh.

Soalan ulasan

Ulasan ini melihat kepada bukti bagi faedah pelbagai jenis terapi baru untuk merawat kanser mulut (kanser kaviti oral) dan kanser tekak (kanser orofarinks) yang diguna bersama rawatan standard. Satu kajian mensasarkan sel kanser secara terus dan kajian satu lagi bertujuan menggalakkan sistem imun tubuh melawan kanser dengan berkesan. Adakah rawatan-rawatan ini menghasilkan keputusan yang berbeza secara keseluruhan berkenaan survival, survival bebas kanser, menghadkan kanser kepada sesuatu kawasan tubuh, kanser berulang, kualiti hidup atau kesan yang tidak diingini?

Latarbelakang

Kanser oral (kanser mulut dan tekak) merupakan kanser yang keenam di dunia, lebih kurang 4% daripada semua jenis kanser. Kanser ini lebih kerap terjadi pada lelaki. Merokok, pengambilan alkohol dan pengunyahan sirih pinang merupakan faktor risiko utama.Kanser tekak dikaitkan dengan jangkitan virus papiloma manusia yang boleh ditransmisi melalui hubungan seksual.Status ekonomi rendah (ukuran pendapatan, pendidikan dan pekerjaan berbanding orang lain) dikaitkan dengan lebih kerap mendapat kanser oral dan dengan kadar survival yang rendah.Survival selepas diagnosis kanser oral atau tekak kekal pada tahap rendah, lebih kurang 50% berbanding mereka yang masih hidup selepas lima tahun (kadar survival lima-tahun)

Terapi baru yang mensasarkan sel penyebab kanser oral sedang dibangunkan. Kelebihan terapi baru adalah ia hanya mensasarkan sel kanser berbanding kemoterapi konvensional yang menjejaskan kedua-dua sel sihat dan sel kanser.

Imunoterapi (juga disebut terapi biologi, bioterapi atau terapi pengubahsuai respon biologi) mungkin boleh meningkatkan fungsi sistem imun supaya sel kanser dapat dimusnahkan dengan lebih berkesan.Imunoterapi setempat merawat tumor secara terus dan imunoterapi sistemik mensasarkan seluruh tubuh, dan mungkin dapat menghentikan penularan kanser atau ulangan tumor primer dalam kanser yang lebih serius.

Ciri kajian

Bukti ulasan terkini sehingga Februari 2015.Kami menjumpai 12 kajian yang sesuai untuk dimasukkan dengan jumlah 2488 peserta. Dua belas peratus peserta (298) mempunyai tumor di dalam mulut dan 59% (1468) mempunyai tumor di tekak. Baki 29% peserta mempunyai tumor kotak suara atau bahagian bawah tekak dan kurang dari 1% peserta mempunyai tumor di bahagian lain. Kami membahagi kajian kepada tiga rawatan bandingan: terapi standard dengan atau tanpa terapi antibodi monoklonal reseptor faktor pertumbuhan (EGFR mAb) (yang merupakan terapi sasaran), terapi standard dengan atau tanpa inhibitor tirosin kinase (TKIs) (yang merupakan terapi sasaran) dan terapi standard dengan atau tanpa imunoterapi (yang merupakan terapi penggalakkan imun).

Keputusan utama

Kami mendapati penambahan EGFR mAb dengan terapi standard mungkin dapat meningkatkan keseluruhan survival, survival bebas kanser, menghadkan kanser kepada sesuatu kawasan tubuh dan mengurangkan kanser berulang.Namun ia boleh meningkatkan masalah kulit untuk sesetengah orang.

Bukti tidak mencukupi untuk mengetahui sama ada TKIs yang diberi dengan terapi standard menghasilkan perubahan kepada keseluruhan survival, survival bebas kanser, menghadkan kanser kepada sesuatu bahagian tubuh atau kanser berulang.

Satu kajian mencadangkan gabungan sejenis imunoterapi, rIL-2 dan pembedahan mungkin dapat meningkatkan survival secara keseluruhan.

Kualiti bukti

Secara keseluruhan, bukti sedia ada adalah bertahap sederhana (untuk EGFR mAb) hingga rendah (untuk TKIs dan rIL-2) yang menghadkan keyakinan kami dalam kebolehpercayaan keputusan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information