Antibiotik untuk eksarserbasi penyakit kronik pilmonari obstruktif

Penyakit kronik obstruktif pulmonari (COPD) adalah satu keadaan kronik, sering disebabkan oleh merokok, yang menjejaskan laluan udara masuk dan keluar dari paru-paru. Eksaserbasi COPD didefinisi sebagai gejala-gejala pesakit yang berterusan bertambah buruk daripada keadaan yang stabil dan lazim dilaporkan gejala-gejala seperti nafas  tercungap-cungap, batuk, peningkatan penghasilan kahak dan perubahan warna kahak. Antibiotik sering dipreskripsi untuk eksaserbasi dalam kalangan pesakit COPD walaupun punca eksaserbasi sukar untuk ditentukan (virus, bakteria, alam sekitar). Kami telah membuat ulasan kajian sistematik ini untuk mencari bukti kukuh tentang penggunaan antibiotik bagi eksaserbasi COPD dan jika manfaat mengambil antibiotik bagi individu melebihi potensi mudarat dalam kalangan pesakit dan risiko untuk bakteria resistan terhadap populasi.

Kami mendapati 16 kajian rawak yang membandingkan antibiotik dengan plasebo terhadap 2068 pesakit COPD yang mengalami pelbagai tahap keterukan eksaserbasi. Analisis menunjukkan antibiotik mengurangkan kegagalan rawatan (tiada penambahbaikan) berbanding plasebo bagi pesakit di dalam hospital dengan eksaserbasi yang teruk. Bukti penggunaan antibiotik bagi pesakit luar dengan eksaserbasi ringan hingga sederhana adalah kurang jelas kerana analisis menunjukkan pengurangan kegagalan rawatan apabila semua kajian dan antibiotik telah dipertimbangkan, namun analisis tidak menunjukkan kesan apabila terhad kepada penggunaan antibiotik semasa. Tempoh tinggal di hospital dan mortaliti tidak dikurangkan dengan penggunaan antibiotik dalam kalangan pesakit yang dimasukkan ke hospital kecuali bagi mereka yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi. Pesakit yang dirawat dengan antibiotik mengalami cirit-birit dua kali ganda berbanding dengan pesakit yang menerima plasebo. Keterukan COPD tersirat tidak dapat dibandingkan antara kajian kerana fungsi paru-paru dan parameter lain yang dilaporkan tidak konsisten antara kajian.

Bukti terkini menunjukkan bahawa antibiotik dapat mengurangkan kegagalan rawatan dalam kalangan pesakit yang dimasukkan ke hospital untuk rawatan eksaserbasi COPD, dan sebahagian kecil bagi pesakit luar. Mortaliti hanya dikurangkan dengan antibiotik bagi pesakit yang mengalami eksaserbasi serius, yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi. Kesan antibiotik yang bersifat sederhana dan tidak konsisten ke atas kegagalan rawatan mencadangkan bahawa antibiotik hanya berkesan dalam sesetengah pesakit dan bukan dalam semua pesakit. Kajian bermutu tinggi masa akan datang harus meninjau bagaimana terapi antibiotik boleh disasarkan kepada pesakit yang mendapat manfaat menggunakan tanda-tanda klinikal (contohnya kahak yang bernanah) atau "biomarkers" sewaktu pesakit berjumpa dengan doktor di penjagaan primer atau di jabatan kecemasan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save