Antisepsis kulit untuk mengurangkan jangkitan berkaitan kateter vena pusat

Soalan ulasan

Kami meninjau bukti sama ada penggunaan rawatan antiseptik pada kulit seseorang dapat membantu dalam mengurangkan jangkitan berkait dengan kateter vena pusat (CVC).

Latarbelakang

Kateter vena pusat (CVC) adalah tiub nipis dan fleksibel (mudah dibengkokkan) yang dimasukkan melalui kulit ke dalam vena yang besar, seringkali di lengan atau dada. Tiub itu boleh digunakan untuk suntikan cecair, ubatan dan nutrisi kepada pesakit yang sakit tenat dan kronik. Walau bagaimanapun, CVC menimbulkan risiko ketara bagi jangkitan dengan memberikan laluan kepada mikroorganisma (kuman) merebak ke dalam tubuh pada lokasi kemasukan kateter. Dalam usaha untuk cuba mengurangkan jangkitan berkaitan kateter, kakitangan kesihatan sering menggunakan cecair antiseptik untuk membersihkan kulit di sekitar tapak kemasukan kateter, sebelum memasukkan kateter dan semasa kateter berada di tempatnya. Dalam tijauan ini, kami merumuskan bukti menafaat dan kemudaratan menggunakan antiseptik pada kulit dan kesan penggunaan cecair antiseptik yang berbeza.

Tarikh carian

Kami telah mencari pelbagai database perubatan pada bulan Mei 2016.

Ciri-ciri kajian

Pada bulan Mei 2016 kami meninjau beberapa pangkalan data perubatan untuk mencari kajian rawak terkawal yang melihat penggunaan antiseptik kulit pada seseorang yang ada CVC. Kami merangkumkan 13 kajian dalam tinjauan ini, walaupun hanya 12 kajian yang menyumbang data untuk sejumlah 3446 CVC. Peserta kajian, kebanyakannya adalah orang dewasa di unit rawatan rapi atau lain-lain unit di hospital pakar. Kami melaporkan penemuan kami dari segi bilangan kateter, kerana beberapa kajian tidak memberikan jumlah pesakit yang diperiksa, dan sesetengah pesakit memiliki lebih daripada satu CVC. Satu kajian dibiayai oleh sebuah badan penyelidikan negara, lima kajian dibiayai secara keseluruhan atau sebahagiannya oleh sekurang-kurangnya sebuah syarikat farmaseutikal, dan baki tujuh kajian tidak menyatakan sumber dana.

Keputusan utama

Tiga kajian mengkaji kesan pembersihan berbanding tanpa pembersihan, dan mendapati tiada bukti perbezaan yang jelas tentang kejadian jangkitan darah, jangkitan pada kateter dan keperluan antibiotik antara pesakit yang menerima pembersihan dan tanpa pembersihan. Cecair chlorhexidine mungkin mengurangkan jangkitan darah yang berkaitan dengan kateter berbanding dengan cecair povidone-iodine (mengurangkan kadar jangkitan daripada 64 kes setiap 1000 pesakit yang mempunyai CVC dengan povidone iodine kepada 41 kes jangkitan setiap 1000 dengan chlorhexidine). Ini bermakna keperluan untuk merawat 44 orang untuk mengelakkan tambahan satu jangkitan aliran darah . Larutan chlorhexidine mungkin (berbanding dengan larutan povidone iodine) juga mengurangkan kehadiran organisma berjangkit di dalam kateter (pengurangan dari 240 kateter terjangkit bagi setiap 1000 orang kepada 189 kateter terjangkit bagi setiap 1000 orang). Adalah tidak jelas sama ada pembersihan kulit dengan antiseptik mempengaruhi kadar kematian kerana hanya satu kajian yang melapurkannya dan walaupun kadar kematian yang dicerap adalah lebih kurang sama antara povidone iodine dan chlorhexidine, bilangan yang kecil pun agak bermakna dan tidak boleh diketepikan.

Kualiti bukti

Pada keseluruhannya, kualiti bukti adalah lemah kerana terdapat kelemahan dalam cara kajian direka bentuk, saiz kajian kecil, keputusan tidak konsisten (berubab-ubah) diantara kajian yang terlibat dan sifat hasil-hasil yang dilaporkan. Kelemahan-kelemahan ini telah mengurangkan keyakinan kami terhadap hasil-hasil kajian. Ini bermakna kita tidak dapat pastikan sama ada membersihkan kulit di sekitar tapak kemasukan CVC dengan antiseptik mengurangkan jangkitan aliran darah yang berkaitan dengan kateter dan kesan bahaya yang lain, seperti jangkitan darah secara keseluruhan dan kematian berbanding dengan tanpa pembersihan kulit. Pembersihan dengan cecair chlorhexidine mungkin lebih berkesan daripada povidone iodine tetapi kualiti bukti adalah sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College) Disunting oleh Azlan Husin (Universiti Sains Malaysia) Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my.

Tools
Information
Share/Save