Intervensi latihan bagi meningkatkan kemahiran konsultasi telefon para pengamal perubatan

Apakah matlamat ulasan ini?

Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk mengetahui sama ada sesetengah intervensi latihan adalah lebih berkesan daripada yang lain untuk memperbaiki kemahiran komunikasi telefon para pengamal perubatan dan hasil pesakit.

Mesej utama

Satu kajian kecil melaporkan tiada perbezaan di antara intervensi latihan dan tiada intervensi bagi kemahiran telefon doktor pelatih pediatrik, tetapi kepastian bukti adalah sangat rendah, jadi ianya adalah tidak pasti jika intervensi ini menghasilkan sebarang perbezaan dalam kemahiran komunikasi telefon para pengamal perubatan.

Kami tidak menjumpai sebarang kajian yang menilai kesan intervensi latihan untuk memperbaiki kemahiran komunikasi telefon para pengamal perubatan terhadap hasil pesakit.

Tiada bukti untuk memaklumkan latihan para pengamal perubatan untuk kemahiran komunikasi telefon, oleh itu pada masa ini ianya perlu dipandu oleh kajian-kajian dan model-model yang berdasarkan komunikasi bersemuka yang tidak mempertimbangkan perbezaan di antara kedua-dua dimensi komunikasi.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Sejak ciptaannya, telefon telah semakin digunakan oleh pengamal perubatan dan pesakit untuk mengurus masalah kesihatan. Pada masa kini, suku dari semua konsultasi klinikal berlaku melalui telefon. Apa yang di ketahui daripada penyelidikan yang lalu adalah kemahiran telefon para pengamal perubatan adalah berkualiti rendah, dan para pengamal perubatan menerima latihan spesifik yang lemah dalam pendidikan mereka. Kemahiran profesional yang penting dan rumit ini dibiar kepada gerak hati dan pertimbangan individu para pengamal perubatan sendiri untuk memupuk dan meningkatkannya. Keseluruhan penyelidikan perubatan telefon jelas menunjukkan bahawa konsultasi telefon boleh memainkan peranan penting dalam penyampaian penjagaan kesihatan dengan impak kuantitatif terhadap beban kerja para pengamal perubatan, penjagaan hospital, hasil pesakit dan tahap kepuasan kerja.

Kami mencari kajian-kajian di mana doktor, jururawat dan profesional penjagaan kesihatan lain menjalani intervensi pendidikan bagi mengembangkan dan meningkatkan kemahiran konsultasi telefon dengan pesakit. Kami memasukkan kajian dari semua persekitaran dan mengecualikan kajian yang berurusan hanya dengan komunikasi antara para pengamal perubatan.

Apakah keputusan utama ulasan?

Ulasan ini mendapati tiada kajian yang menilai kesan intervensi latihan untuk memperbaiki kemahiran komunikasi telefon para pengamal perubatan terhadap hasil pesakit yang diukur dengan alat yang disahkan atau penanda bio-perubatan, ke atas tingkah laku pesakit, morbiditi atau kematian pesakit, kepuasan pesakit, ketepatan penilaian segera atau kesan-kesan buruk. Kami mendapati satu kajian kecil yang dijalankan lebih 25 tahun yang lalu yang melaporkan tiada perbezaan di antara intervensi latihan dan tiada intervensi pada kemahiran mengambil sejarah dan pengurusan kes doktor pelatih pediatrik. Kajian ini tidak memberi sebarang data kuantitatif.

Ulasan ini mendapati tiada bukti spesifik untuk memaklumkan latihan kemahiran konsultasi telefon para pengamal perubatan; kajian berkualiti tinggi dalam bidang ini amat diperlukan dengan segera.

Adakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga May 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi mltan@pmc.edu.my

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan