Rejimen suplemen zat besi berkala semasa mengandung

Anemia merupakan keadaan yang kerap berlaku semasa mengandung, terutamanya dalam kalangan wanita dari negara berpendapatan sederhana dan rendah yang mempunyai pengambilan zat besi yang tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan zat besi yang semakin meningkat. Secara tradisinya, anemia sewaktu mengandung dapat dihalang dengan pengambilan suplemen zat besi setiap hari, walau bagaimanapun,baru-baru ini telah dicadangkan bahawa dengan mengurangkan kekerapan wanita mengambil suplemen, seperti sekali atau dua kali seminggu dan bukannya setiap hari, mungkin dapat mengurangkan kesan sampingan dan meningkatkan penerimaan dan pematuhan pengambilan suplemen. Dalam sorotan ini, kita menilai manfaat dan kemudaratan berkala (seperti dua atau tiga kali seminggu tidakberturut-turut) suplemen oral dengan zat besi atau besi + asid folik atau zat besi + vitamin dan mineral untuk wanita mengandung.

Kita menilai 27 ujian terkawal rawak, tetapi hanya 21 ujian yang melibatkan 5490 wanita mempunyai hasil untuk penilaian kita. 3 kajian membandingkan pengambilan zat besi berkala sahaja berbanding zat besi setiap hari, kajian-kajian lain yang termasuk dalam sorotan ini juga membanding pengambilan zat besi berkala digabungkan dengan asid folik atau vitamin lain dan mineral berbanding pengambilan suplemen yang sama setiap hari. Dalam penilaian semua kajian (mana-mana regimen berkala termasuk zat besi berbanding regimen harian), tidak ada bukti perbezaan yang jelas antara kumpulan bagi kebanyakan parameter yang dinilai, termasuklah berat kelahiran bayi, kelahiran pra-matang, dan kematian perinatal, atau anemia, kepekatan hemoglobin dan kekurangan zat besi dalam kalangan wanita pada akhir waktu mengandung. Akan tetapi, wanita yang mengambil suplemen berkala dan bukannya setiap hari kurang kemungkinan untuk melaporkan kesan sampingan (seperti sembelit dan loya). Di samping itu, suplemen berkala dilihat dapat mengurangkan bilangan wanita dengan kepekatan hemoglobin tinggi semasa pertengahan and akhir kandungan berbanding dengan rejimen harian. Kepekatan hemoglobin tinggi mungkin berbahaya kerana ia boleh dikaitkan dengan risiko yang tinggi untuk mendapat kelahiran pramatang dan bayi kurang berat badan. Tiada perbezaan yang jelas dilihat antara kumpulan-kumpulan untuk parameter yang lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan