Ejen penurun glukosa untuk merawat diabetes yang sudah ada dan baru timbul pada penerima pemindahan buah pinggang

Apakah isunya?

Pemindahan buah pinggang sering kali menyebabkan diabetes semakin teruk atau baru timbul. Keselamatan dan keberkesanan ubat yang digunakan untuk menurunkan glukosa dalam keadaan ini tidak diketahui.

Apa yang kami lakukan?

Kami menilai keberkesanan dan keselamatan ubat penurun glukosa pada orang yang menghidap diabetes yang telah menerima pemindahan ginjal dengan mencari Daftar Pengkhususan Buah Pinggang dan Pemindahan Cochrane. Kami mengemas kini ulasan asal kami dengan memasukkan semua kajian terkawal dan rentas secara rawak yang meneliti persoalan ini hingga 16 Januari 2020.

Apakah maklumat yang kami telah perolehi?

Kami menyertakan sepuluh kajian (termasuk tiga kajian tambahan) dengan sejumlah 603 orang yang secara rawak menerima pemindahan buah pinggang. Empat kajian membandingkan terapi insulin yang lebih intensif dengan kurang intensif; dua kajian membandingkan perencat dipeptidyl peptidase-4 (DPP-4) dengan plasebo; satu kajian membandingkan perencat DPP-4 dengan glargine insulin; satu kajian membandingkan perencat natrium glukosa co-transporter-2 (SGLT2) dengan plasebo; dan dua kajian membandingkan glitazon dan insulin dengan terapi insulin sahaja. Dari kajian-kajian ini, kesan yang lebih banyak dibandingkan dengan rawatan insulin yang kurang intensif terhadap kelangsungan hidup pemindahan buah pinggang, kawalan glukosa darah, kematian, dan kesan sampingan rawatan termasuk hipoglisemia, tidak dapat difahami dengan baik. Berdasarkan satu kajian, perencat DPP-4 dapat meningkatkan kawalan glukosa darah tanpa mempengaruhi penanda fungsi buah pinggang. Kadar kesan sampingan perencat DPP-4 berbanding plasebo atau insulin juga tidak difahami dengan baik. Berdasarkan satu kajian, perencat SGLT2 mungkin tidak mempengaruhi kelangsungan hidup pemindahan buah pinggang, tetapi dapat meningkatkan kawalan glukosa darah jangka panjang tanpa mempengaruhi fungsi buah pinggang jangka panjang. Perencat SGLT2 mungkin tidak menyebabkan tahap gula rendah dan tidak banyak memberi kesan kepada orang yang menghentikan ubat. Walau bagaimanapun, dalam kajian ini, orang yang menghentikan perencat SGLT2 mengalami jangkitan saluran kencing. Glitazon dan insulin mungkin tidak memberi kesan pada kawalan glukosa darah atau kesan sampingan berbanding dengan insulin sahaja. Kesan penggunaan perencat DPP-4 dibandingkan dengan plasebo atau insulin, atau glitazon dan insulin berbanding dengan insulin sahaja, terhadap kelangsungan hidup pemindahan ginjal dan kematian juga tidak jelas.

Kesimpulan

Bukti kontemporari mengenai rawatan penurunan glukosa untuk diabetes pada orang yang telah menerima pemindahan buah pinggang adalah terhad. Kajian yang lebih besar dan berkualiti tinggi diperlukan untuk menilai keselamatan dan keberkesanan rawatan penurun glukosa terkini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information