Adakah terapi pergerakan tarian merupakan rawatan yang berkesan untuk kemurungan? Ulasan bukti

Mengapakah ulasan in penting?

Kemurungan menjejaskan 350 juta orang di seluruh dunia, memberi kesan kepada kualiti hidup, kerja, perhubungan dan kesihatan fizikal. Ubat-ubatan dan terapi bercakap tidak selalunya sesuai atau tersedia. Terapi pergerakan tarian (DMT) menggunakan pergerakan badan untuk meneroka dan meluahkan emosi dalam kumpulan atau individu. Ini adalah ulasan pertama keberkesanan DMT untuk kemurungan dan akan menambah asas bukti mengenai rawatan kemurungan.

Siapakah yang akan berminat dengan ulasan ini?

Orang yang terjejas oleh kemurungan.

– Pengamal perubatan umum.

– Pakar kesihatan mental.

– Ahli terapi psikologi.

Apakah soalan yang ingin dijawab oleh ulasan ini?

Adakah DMT lebih berkesan daripada tiada rawatan atau penjagaan standard?

Adakah DMT lebih berkesan daripada terapi bercakap?

Adakah DMT lebih berkesan daripada ubat?

Adakah DMT lebih berkesan daripada rawatan fizikal seperti tarian atau senaman?

Sejauh manakah keberkesanan pelbagai jenis DMT?

Kajian mana yang disertakan dalam ulasan ini?

Pangkalan data telah dicari untuk semua kajian terkawal rawak DMT yang diterbitkan dan tidak diterbitkan untuk kemurungan sehingga Oktober 2014, dengan peserta dari sebarang umur, jantina atau etnik. Tiga kajian (147 peserta) memenuhi kriteria kemasukan: dua terdiri daripada orang dewasa (lelaki dan wanita); dan satu dari remaja (perempuan sahaja).

Apakah bukti daripada ulasan ini memberitahu kami?

Oleh kerana bilangan kajian yang rendah dan kualiti bukti yang rendah, adalah tidak mungkin untuk membuat kesimpulan yang kukuh tentang keberkesanan DMT untuk kemurungan. Tidak mungkin untuk membandingkan DMT dengan ubat, terapi bercakap, rawatan fizikal atau membandingkan jenis DMT kerana kekurangan bukti yang tersedia. Penemuan utama

Secara keseluruhan, tiada bukti untuk atau menentang DMT sebagai rawatan untuk kemurungan. Terdapat beberapa bukti untuk mencadangkan DMT lebih berkesan daripada penjagaan standard untuk orang dewasa, tetapi ini tidak signifikan secara klinikal. DMT tidak lebih berkesan daripada penjagaan standard untuk golongan muda.

Bukti daripada hanya satu kajian kualiti metodologi yang rendah mencadangkan bahawa kadar keciciran daripada kumpulan DMT adalah tidak ketara, dan tiada kesan yang boleh dipercayai dalam kedua-dua arah untuk kualiti hidup atau harga diri. Kesan positif yang besar telah diperhatikan untuk fungsi sosial, tetapi kerana ini adalah daripada satu kajian dengan kualiti metodologi yang rendah, hasilnya adalah tidak tepat.

Apa yang patut berlaku seterusnya?

Kajian masa depan harus berkualiti metodologi tinggi, membandingkan DMT dengan rawatan lain untuk kemurungan, dan termasuk analisis ekonomi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi loketimkhaw@imu.edu.my

Tools
Information