Antioksidan untuk mencegah dan mengurangkan sakit otot selepas senaman

Latar belakang dan tujuan ulasan

Sakit otot sering berlaku selepas senaman gigih atau senaman yang tidak biasa dilakukan. Ia memuncak antara 24 dan 72 jam selepas senaman awal. Ramai orang mengambil antioksidan tambahan seperti vitamin C dan/atau E atau makanan yang diperkaya antioksidan seperti ceri tart atau jus delima sebelum dan selepas senaman dengan kepercayaan bahawa ia akan mencegah atau mengurangkan sakit otot selepas senaman.

Keputusan carian

Kami mencari pangkalan data perubatan sehingga Februari 2017 untuk kajian yang membandingkan penambahan antioksidan dengan intervensi kawalan seperti plasebo (pil atau minuman "dummy" atau minuman yang tiada antioksidan) atau tiada rawatan. Kami mendapati 50 kajian, kesemuanya membandingkan penambahan antioksidan dengan plasebo. Ia melaporkan keputusan untuk sejumlah 1089 peserta. Daripada jumlah ini, hampir 9 daripada 10 adalah lelaki. Julat umur peserta adalah antara 16 dan 55 tahun dan status latihan mereka berubah-ubah dari sedentari hingga berlatih secara sederhana. Kajian-kajian sangat berbeza seperti jenis dan dos penambahan antioksidan dan jenis senaman yang diguna untuk menyebabkan sakit otot. Semua kajian menggunakan dos antioksidan yang lebih tinggi daripada amaun harian yang disyorkan.

Keputusan utama

Terdapat bukti bahawa dos penambahan antioksidan yang tinggi mungkin mengurangkan sedikit sakit otot sehingga 6 jam dan pada 24, 48 dan 72 jam susulan tetapi tidak pada 96 jam. Walau bagaimanapun, pengurangan ini sangat kecil sehingga ia tidak mungkin membuat perbezaan. Tiada kajian yang melaporkan hasil yang berkait dengan pemulihan subjektif, seperti kembali ke aktiviti sebelumnya tanpa tanda atau gejala.

Hanya sembilan kajian yang melaporkan kesan buruk dan hanya dua kesan buruk ditemui. Kesemua enam peserta dalam kumpulan antioksidan dalam satu kajian mendapat cirit-birit dan empat daripada mereka juga mengalami ketakcernaan ringan; ia adalah kesan sampingan yang diketahui dari antioksidan tertentu yang diguna dalam kajian ini. Salah satu daripada 26 peserta dalam kajian kedua mengalami distres gastrousus ringan.

Kualiti bukti

Kami menganggap bukti untuk sakit otot sebagai berkualiti 'sederhana' atau 'rendah'. Ini adalah kerana kebanyakan kajian mempunyai aspek-aspek yang boleh mempengaruhi kebolehpercayaan keputusan mereka dan dalam sesetengah kes kerana variasi dalam keputusan kajian-kajian. Ini bermakna terdapat beberapa ketidakpastian tentang penemuan dan penyelidikan lanjut boleh memberi bukti yang dapat mengubah kesimpulan kita.

Kesimpulan penulis

Penambahan antioksidan tidak dilihat mengurangkan sakit otot pada awal atau pada satu, dua, tiga atau empat hari selepas senaman.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information