Penggunaan ubat faktor pertumbuhan endothelial anti-vaskular (VEGF) untuk rawatan 'retinopathy of prematurity'

Latar belakang

'Retinopathy of prematurity' (ROP) adalah sejenis gangguan vaskular pada retina yang tidak matang yang boleh menyebabkan gangguan penglihatan dan juga kebutaan di kalangan bayi praterma. Ia dirawat terutamanya dengan menggunakan "ablation retina avaskular", iaitu penyingkiran bahagian retina tanpa sebarang saluran darah oleh terapi cryo ataupun menggunakan terapi laser. Walaupun rawatan ini meningkatkan hasil jangkaan panjang yang ketara, keputusannya adalah kurang sempurna. Di samping itu, ia menyebabkan kehilangan kekal medan penglihatan periferal. Baru-baru ini, kajian telah dilakukan untuk menilai penggunaan agen anti-VEGF untuk merawat ROP. Agen-agen ini menghalang tindakan faktor vaskular pertumbuhan endothelial (VEGF), suatu pengatur utama pembentukan salur darah baru dalam kehidupan janin. Kajian haiwan telah menunjukkan pengurangan ketara dalam respons 'neovascular' berikutan suntikan antibodi anti-VEGF ke dalam kaviti vitreous mata (terapi 'intravitreal').

Ciri-ciri kajian

Kami telah mencari pangkalan data saintifik pada bulan Disember 2016 untuk kajian yang menilai keberkesanan dan keselamatan penggunaan terapi intravitreal dengan agen anti-VEGF untuk bayi pramatang dengan ROP. Kami telah mengenalpasti enam buah kajian rawak terkawal yang melibatkan 383 bayi. Lima kajian telah membandingkan bevacizumab intravitreal atau ranibizumab dengan terapi laser konvensional. Satu kajian berbanding pegaptanib intravitreal ditambah dengan terapi laser dengan laser/ terapi cryo sahaja.

Keputusan utama

Keputusan menunjukkan bahawa agen anti-VEGF intravitreal mengurangkan risiko ralat refraktif (miopia tinggi) dalam kalangan kanak-kanak tetapi tidak mengurangkan risiko penanggalan retina atau pengulangan ROP sekiranya digunakan secara berasingan. "Pegaptanib intravitreal" yang diguna bersama dengan terapi laser mengurangkan risiko berlakunya penanggalan retina. Kesan pada hasil kritikal yang lain, termasuk kesan sampingan tertunda seperti strok, adalah tidak diketahui. Kajian lanjut diperlukan untuk menilai hasil-hasil ini.

Kualiti bukti

Kualiti bukti didapati sangat rendah atau rendah untuk kebanyakan hasil kajian utama.

Persekitaran

Unit neonatal di China, Republik Czech, Itali, Iran, Ireland, dan Amerika Syarikat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo sook Lee (Penang Medical College). Dikemaskini oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Gan Siew Hua (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information