Nikotin untuk kesakitan selepas pembedahan

Soalan ulasan

Ulasan Cochrane ini mengkaji sama ada nikotin yang diberikan sebelum, semasa, atau sejurus selepas pembedahan mengakibatkan kesakitan yang kurang, penggunaan opioid dan kesan sampingan daripada opioid.

Latar belakang ciri kajian

Pembedahan besar biasanya dikaitkan dengan kesakitan yang ketara. Rawatan utama untuk kesakitan selepas pembedahan besar adalah ubat opioid (penghilang rasa sakit yang kuat seperti morfin). Walau bagaimanapun, opioid tidak selalunya berkesan sepenuhnya dan dikaitkan dengan kesan sampingan termasuk mengantuk (sedasi), pernafasan cetek (kemurungan pernafasan), berasa sakit (loya), dan sakit (muntah). Ubat yang diberi bersama, seperti paracetamol, boleh membantu meningkatkan kawalan kesakitan selepas pembedahan dan mengurangkan keperluan untuk opioid.

Kami menyertakan sembilan kajian klinikal dengan sejumlah 666 peserta. Kami mencari beberapa pangkalan data hingga Mac 2014, untuk mencari kajian rawak terkawal plasebo (kajian klinikal di mana orang ramai disertakan secara rawak ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan, salah satunya termasuk kumpulan pura-pura (plasebo)) nikotin untuk kesakitan selepas pembedahan. Kami juga menghubungi pengarang kajian untuk mendapatkan data tambahan. Tidak semua kajian melaporkan semua simptom (hasil) yang disenaraikan di atas, jadi apa yang boleh kita katakan tentang beberapa hasil adalah terhad. Kami menjalankan semula carian pada 28 April 2015. Kami akan menilai satu kajian yang diminati apabila kami mengemas kini ulasan ini.

Keputusan utama

Keputusan kami menunjukkan bahawa terdapat bukti kualiti yang rendah bahawa penggunaan nikotin menyebabkan skor kesakitan selepas pembedahan sedikit lebih rendah 24 jam selepas pembedahan. Pada satu jam dan 12 jam selepas pembedahan kesannya kurang pasti. Nikotin nampaknya tidak mengurangkan penggunaan opioid pada 60 minit atau 24 jam, dan tiada bukti bahawa ia mengurangkan sedasi atau muntah. Nikotin dikaitkan dengan risiko loya yang lebih tinggi daripada plasebo, dan ini mungkin mengehadkan penggunaannya. Tiada data yang mencukupi untuk menilai kesan penggunaan nikotin pada kesan sampingan lain yang dikaitkan dengan opioid, termasuk kemurungan pernafasan, atau kesan penggunaan nikotin pada tempoh tinggal di hospital selepas pembedahan.

Kualiti bukti

Kami menurunkan kualiti bukti kepada kualiti rendah atau sangat rendah sebahagian besarnya disebabkan masalah dengan cara kajian direka, yang boleh membesar-besarkan keputusan, kerana terdapat data yang tidak mencukupi dalam banyak analisis untuk memastikan saiz kesan purata dan kerana keputusan beberapa kajian berbeza dengan ketara.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information