Bupropion untuk masalah hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD) orang dewasa

Soalan ulasan

Penyelidik mengulas bukti tentang kesan ubat bupropion terhadap orang dewasa dengan ADHD. Penyelidik juga mengulas kesan buruk (kesan sampingan yang berpengalaman akibat mengambil dadah).

Latar belakang

ADHD adalah gangguan otak yang ditandai dengan corak berterusan terhadap kekurangan perhatian, impulsif dan/atau aktiviti yang berlebihan, yang mengganggu fungsi atau pembangunan. Sesetengah orang yang mempunyai ADHD hanya mempunyai masalah dengan salah satu tingkah laku, sementara yang lain mempunyai kombinasi. Bupropion adalah ubat yang didaftarkan untuk rawatan kemurungan dan untuk berhenti merokok, tetapi juga digunakan untuk merawat ADHD. Orang dengan ADHD biasanya ditetapkan ubat perangsang seperti methylphenidate dan amphetamine. Walau bagaimanapun, tidak semua orang bertindak balas dengan baik untuk perangsang. Sesetengah orang tidak boleh bertolak ansur dengan perangsang disebabkan oleh kesan sampingan. Yang lain mempunyai keadaan perubatan seperti keadaan psikiatri atau gangguan tic yang menjadikannya tidak mungkin menggunakan perangsang. Orang lain mungkin tidak mahu menggunakan perangsang, kerana ini adalah bahan terkawal. Oleh itu, bukan perangsang seperti bupropion kadang kala digunakan. Keberkesanannya dalam merawat ADHD belum diketahui.

Tarikh carian

Bukti ini adalah terkini sehingga Februari 2017.

Ciri-ciri kajian

Penyelidik melibatkan enam kajian rawak terkawal (RCTs), iaitu kajian di mana peserta secara rawak diperuntukkan kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan. Lima kajian dijalankan di Amerika Syarikat, dan keenam di Iran. Kajian-kajian tersebut melibatkan 438 orang dengan ADHD. Semua menilai versi bupropion yang bertindak panjang, iaitu, versi ubat diserap dengan perlahan, dan oleh itu boleh diambil hanya sekali sehari. Dos mudah ini sesuai dengan orang dengan ADHD, kerana penyakit itu boleh membuat mereka sukar untuk mengingat untuk mengambil ubat mereka.

Tempoh kajian berbeza antara enam dan 10 minggu. Semua peserta didiagnosis dengan ADHD, dan sering mengalami masalah kesihatan mental yang lain. Dalam satu kajian, semua peserta mempunyai ADHD dan ketagihan terhadap opioid (ubat yang melegakan kesakitan).

Sumber dana kajian

Empat kajian dibiayai oleh industri dan dua kajian dibiayai secara terbuka. Dalam salah satu kajian yang dibiayai oleh awam, penulis utama dibayar oleh industri (walaupun bukan oleh pengeluar buproprion) untuk aktiviti penyelidikan.

Keputusan utama

Bupropion boleh menyebabkan peningkatan kecil dalam ADHD dan juga boleh mengurangkan gejala yang berkaitan dengan ADHD. Ubat tidak mempunyai kesan yang lebih buruk daripada rawatan dengan plasebo. Bupropion mungkin merupakan rawatan alternatif untuk orang dewasa dengan ADHD yang tidak boleh atau tidak akan mengambil ubat perangsang.

Kualiti bukti

Kualiti bukti dalam ulasan ini adalah rendah, kerana penyelidik mendapati sangat sedikit kajian; lima daripada enam kajian adalah kecil, dan semuanya dilaksanakan dengan buruk. Kesan bupropion terhadap pelbagai aspek fungsi harian tidak dikaji. Juga, tiada kajian menilai kesan jangka panjang ubat ini. Kajian lanjut diperlukan, untuk menilai sama ada bupropion berkesan dalam subkumpulan ADHD tertentu atau pada orang yang mempunyai gangguan tambahan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save