Lacosamide sebagai terapi tambahan untuk epilepsi fokal

Latar belakang

Lacosamide adalah sejenis ubat antiepileptik yang boleh ditambah bersama ubat antiepileptik yang lain (terapi tambahan) untuk merawat sawan fokal (sawan yang bermula pada satu kawasan otak). Lacosamide mungkin bermanfaat kepada mereka yang tetap mengalami sawan walaupun telah mengambil ubat antiepileptik yang lain (epilepsi tahan ubat). Dalam ulasan ini, kami mengkaji keberkesanan lacosamide sebagai terapi tambahan untuk mereka yang mempunyai epilepsi fokal yang tahan ubat.

Kajian

Kami menyertakan lima kajian dengan jumlah keseluruhan 2199 peserta yang mempunyai epilepsi fokus tahan ubat. Empat kajian melibatkan orang dewasa (berumur 16 hingga 70 tahun) dan satu kajian melibatkan kanak-kanak (berumur 4 hingga 16 tahun). Dalam kesemua lima kajian, peserta-peserta dibahagikan kepada dua kumpulan dan mereka diberikan sama ada lacosamide atau pil gula (plasebo), sebagai tambahan kepada ubat antiepileptik sedia ada.

Keputusan

Mereka yang mengambil lacosamide adalah dua kali ganda lebih cenderung untuk mengalami pengurangan bilangan sawan sebanyak 50% atau lebih berbanding mereka yang mengambil plasebo. Mereka yang mengambil lacosamide juga dua kali ganda lebih cenderung untuk bebas daripada semua sawan, berbanding dengan mereka yang mengambil plasebo. Namun begitu, mereka yang dalam kumpulan lacosamide lebih cenderung untuk menarik diri daripada rawatan berbanding mereka yang di dalam kumpulan plasebo, sebahagian besarnya disebabkan oleh kesan-kesan sampingan. Mereka yang mengambil lacosamide kebanyakannya melaporkan masalah penglihatan menjadi kabur atau berganda, masalah dengan imbangan, pening-pening, mengantuk, mual, dan muntah-muntah.

Kami mengecualikan data daripada kanank-kanak untuk mengkaji kesan lacosamide pada orang dewasa sahaja, untuk menentukan sama ada kemasukan data kanak-kanak telah mempengaruhi hasil kajian. Orang dewasa yang mengambill lacosamide adalah empat kali ganda lebih cenderung untuk bebas sawan berbanding orang dewasa yang mengambil plasebo.

Kepastian bukti

Kami menilai kaedah-kaedah yang digunapakai dalam lima kajian sebagai bagus, dan kepastian bukti yang didapati daripada tinjauan ini adalah sederhana hingga tinggi kesahihannya, kecuali untuk kebebasan daripada sawan, yang kami anggap rendah. Ini bermakna kami cukup yakin bahawa keputusan yang kami laporkan adalah tepat untuk semua dapatan kajian selain daripada kebebasan daripada sawan. Kami mendapati perbezaan dalam keputusan apabila orang dewasa dan kanak-kanak dikelompokkan bersama dan apabila hanya orang dewasa sahaja dikaji, menunjukkan kesan lacosamide yang berbeza antara kedua-dua kumpulan populasi. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menilai kesan jangka masa panjang lacosamide, dan untuk mengetahui keberkesanan lacosamide dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai epilepsi.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Siti Shuhada Muhammad Sidik (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information