Kesan kontraseptif progestin-sahaja atas berat badan

Kontraseptif progestin-sahaja (KPS) boleh digunakan oleh wanita yang tidak boleh atau tidak patut mengambil hormon estrogen. Kebanyakan KPS bertindak lama, kosnya kurang daripada kaedah lain, dan berkesan untuk mencegah kehamilan. Sesetengah orang bimbang bahawa penambahan berat badan adalah kesan sampingan daripada kaedah pencegahan kehamilan ini. Kebimbangan tentang penambahan berat badan boleh mencegah wanita daripada menggunakan kaedah-kaedah ini. Tambahan pula, sesetengah wanita kemungkinan awal berhenti menggunakan pencegahan kehamilan, yang boleh mengakibatkan kehamilan yang tidak terancang. Kami meneliti kajian tentang KPS dan perubahan dalam berat badan.

Sehingga 4 Ogos 2016, kami membuat carian komputer untuk kajian-kajian yang membandingkan KPS dengan pencegahan kehamilan lain ataupun tiada kontraseptif. Untuk ulasan awal, kami menulis kepada penyiasat-penyiasat untuk mencari kajian-kajian lain. Fokus adalah pada perubahan dalam berat badan ataupun ukuran jisim tanpa lemak atau lemak badan.

Dengan enam kajian baharu dalam pengemaskinian ini, kami mempunyai 22 kajian yang melibatkan 11,450 orang wanita. Kumpulan-kumpulan yang dibandingkan tiada banyak perbezaan untuk perubahan berat badan ataupun ukuran badan yang lain dalam 15 kajian. Lima kajian dengan hasil yang berkualiti sederhana ataupun rendah menunjukkan perbezaan antara kumpulan kajian. Tiga kajian menunjukkan perbezaan untuk pengguna-pengguna 'depo' yang dicucuk berbanding tiada kaedah hormon. Pengguna-pengguna depo mempunyai lebih banyak penambahan berat badan dalam dua kajian. Dalam kajian ketiga, remaja mempunyai lebih banyak penambahan berat badan (%) dan pengurangan dalam jisim tanpa lemak (%). Dua kajian menunjukkan penambahan berat badan yang lebih ketara (%) untuk pengguna-pengguna kontraseptif hormon dalam rahim berbanding wanita yang tidak menggunakan kaedah hormon. Satu kajian menunjukkan perbezaan yang sama dengan pil progestin-sahaja. Kedua-dua kajian menunjukkan penurunan jisim tanpa lemak badan yang lebih ketara dengan penggunaan KPS.

Kami menjumpai kekurangan bukti penambahan berat badan apabila menggunakan KPS. Purata penambahan berat badan pada 6 atau 12 bulan adalah kurang daripada 2 kg (4.4 paun) untuk kebanyakan kajian. Kumpulan-kumpulan yang menggunakan kaedah-kaedah pencegahan kehamilan yang lain mempunyai penambahan berat badan yang lebih kurang sama. Kaunseling yang baik tentang penambahan berat badan yang biasa mungkin akan menolong wanita untuk terus menggunakan pencegahan kehamilan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh MelissaChoon (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi melissadebruyne@ms.pmc.edu.my

Tools
Information