Beta2-adrenoseptor agonis untuk dismenorea primer

Sebanyak 50% wanita pramenopause sering mengalami sakit semasa haid (senggugut). Kebanyakan wanita ini mungkin tidak berupaya selama satu hingga tiga hari semasa setiap kitaran haid. Dismenorea primer (PD) adalah di mana seseorang wanita mengalami kesakitan haid yang tidak disebabkan oleh apa-apa penyakit (patologi) dalam struktur anatomi pelvis mereka. Pelbagai rawatan boleh didapati dan sebahagiannya, seperti agonis beta2-adrenoceptor, telah digunakan untuk merawat wanita dengan dismenorea primer tetapi kesannya tidak jelas. Lima kajian melibatkan 187 perempuan dengan julat usia 15 hingga 40 tahun dimasukkan dalam kajian ini. Isoxsuprine oral telah diperiksa dalam dua kajian; semburan oral terbutaline, ritodrine klorida dan hydroxyphenyl-orciprenalin oral dibandingkan dengan plasebo dalam tiga kajian lanjut. Semua kajian dijalankan lebih dari 30 tahun yang lalu dan tidak ada yang berkualiti tinggi. Tiada ubat-ubatan ini, selain daripada isoxsuprine yang digabungkan dengan acetaminophen dan kafein, dilaporkan mempunyai kesan yang baik. Kesan sampingan dengan ubat-ubatan ini dilaporkan oleh satu perempat daripada peserta dan ianya termasuk mual, muntah, pening, bergetar, gegaran dan berdebar-debar. Pada masa ini tidak terdapat bukti yang cukup untuk menyakinkan keputusan tentang penggunaan agonis beta2-adrenoceptor untuk dismenorea.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nik Hazlina Nik Hussain (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi hazlinakck@usm.my

Tools
Information
Share/Save