Baclofen untuk penarikan daripada alkohol

Soalan ulasan

Ulasan ini cuba untuk menilai keberkesanan dan keselamatan baclofen sebagai terapi untuk sindrom penarikan daripada alkohol (AWS) dalam kalangan orang alkoholisme.

Latar belakang

AWS adalah satu keadaan yang menggangu perasaan dan mengancam nyawa yang sering mempengaruhi orang yang bergantung kepada alkohol apabila mereka menghentikan atau mengurangkan pengambilan alkohol. Kesan paling biasa termasuk gegaran, keresahan, kesukaran tidur, mimpi buruk, berpeluh, kadar jantung yang tinggi, demam, berasa sakit, muntah, sawan, halusinasi, agitasi yang meningkat, terketar-ketar dan kecelaruan. Dalam kes-kes yang teruk, orang mungkin hilang kesedaran, jantung boleh terhenti dan mereka boleh mati. Ubat baclofen telah menunjukkan potensi untuk mengurangkan gejala-gejala AWS yang teruk dalam kalangan orang dengan alkoholisme. Rawatan dengan baclofen mudah untuk diurus, tanpa menghasilkan sebarang kesan sampingan yang ketara. Ini adalah versi kemaskini Ulasan Cochrane yang asal terbitan 2015, Isu 4.

Tarikh carian:Bukti adalah terkini sehingga Mac 2017.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data saintifik untuk kajian klinikal yang membandingkan baclofen dengan plasebo (ubat tiruan)atau ubat lain yang berpotensi digunakan dalam kalangan orang dengan AWS. Kami memasukkan tiga kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana peserta diagihkan secara rawak ke dalam satu dari dua atau lebih kumpulan rawatan) dengan 141 peserta. Kajian dari USA membandingkan baclofen dengan plasebo yang diberi untuk sekurang-kurangnya 72 jam. Kebanyakan peserta adalah lelaki dengan purata umur 47 tahun. Satu kajian berlangsung di Itali dan membandingkan baclofen dengan diazepam (sejenis ubat penenang) selama 10 hari berturut-turut. Kebanyakan peserta adalah lelaki dengan purata umur 42 tahun. Kajian di India membandingkan baclofen dengan chlordiazepoxide yang diberi untuk sembilan hari. Kesemua peserta adalah lelaki dengan purata umur 38 tahun. Tiada kajian yang dibiayai oleh syarikat farmaseutikal.

Keputusan utama

Penyelidik tidak pasti sama ada baclofen dapat menambahbaik gejala dan tanda-tanda dan mengurangkan kesan sampingan apabila membandingkan dengan plasebo atau ubat-ubatan lain kerana kualiti bukti adalah sangat rendah.

Kualiti bukti

Kualiti bukti daripada kajian-kajian ini adalah sangat rendah dan keputusan harus ditafsir dengan berhati-hati. Di masa hadapan, RCT dengan reka bentuk lebih baik, buta duaan (di mana peserta mahupun penyelidik tidak boleh tahu rawatan yang diberi sehingga selepas keputusan dikumpul) dengan bilangan besar peserta diperlukan untuk menguji keberkesanan dan penerimaan baclofen dalam kalangan orang dengan AWS.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save