Antibiotik untuk rawatan leptospirosis

Leptospirosis adalah penyakit yang lazimdi negara maju dan juga membangun. Ia disebabkan oleh bakteria yang disebarkan oleh air kencing haiwan. Mereka yang melancong, pekerja bidang pertanian, pemburu, gelandangan, dan lain-lain yang berhubung rapat dengan haiwan adalah kumpulan-kumpulan yang khususnya boleh mendapat leptospirosis. Seperti kebanyakan jangkitan lazim, kebanyakan orang yang dijangkiti penyakit ini tidak merasa sakit. Bila orang merasa sakit, dalam sesetengah keadaan sehingga 1 daripada setiap 10 orang telah meninggal dunia. Sama ada antibiotik perlu digunakan atau tidak, dan jika digunakan, antibiotik yang mana patut diguna menjadi bahan perbahasan selama bertahun-tahun. Ulasan ini mengenalpasti dan menilai tujuh kajian klinikal yang menguji antibiotik dalam kalangan pesakit dengan leptospirosis. Empat kajian membanding penicilin intravena dengan plasebo. Tiga kajian melihat perbezaan di antara pelbagai antibiotik. Semua kajian mempunyai ralat sistematik (bias) dan ralat rawak (permainan peluang) berisiko tinggi. Apabila dilihat bersama, kajian-kajian ini tidak menjawab soalan asas sama ada antibiotik patut digunakan atau tidak. Antara sebabnya ialah terdapat pelbagai tahap keterukan dalam kalangan orang-orang dengan penyakit ini. Penambahan kajian klinikal rawak diperlukan. Walau bagaimanapun, kajian-kajian tersebut mencadangkan antibiotik yang diberi kepada pesakit leptospirosis mungkin boleh membuat pesakit berasa lebih baik dua hari lebih awal. Namun, terapi penicilin mungkin meningkatkan risiko kematian atau dialisis dalam kalangan pesakit yang teruk, berbanding orang-orang yang tidak menerima antibiotik. Antibiotik lain tidak diuji dengan cara ini. Walau kekurangan bukti, jika klinisian memilih untuk merawat leptospirosis dengan antibiotik, tiada sebarang perbezaan di antara penggunaan penicilin intravena, cephalosporin intravena, doxycyline atau azithromycin. Tetapi, ubat-ubat tersebut belum diuji sehingga sama tahap dengan penicilin intravena.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my

Tools
Information