Amiodarone untuk mencegah kematian jantung mengejut

Latar belakang

Kematian jantung mengejut (SCD) adalah punca utama kematian pada masa kini. Orang yang berisiko tinggi (terutamanya mana-mana jenis penyakit jantung) mati secara tidak disangka, terutamanya daripada aritmia (degupan jantung yang tak teratur). Rawatan pilihan adalah peranti yang dipanggil implan defibrilator jantung (ICD), namun ia tidak didapati secara meluas di negara-negara berpendapatan rendah atau sederhana. Amiodarone, sejenis ubat antiaritmia, mungkin boleh mengurangkan kejadian peristiwa-peristiwa ini dan boleh menjadi pilihan apabila ICD tidak boleh didapati.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data saintifik untuk kajian klinikal yang membandingkan kesan amiodarone dengan ubat antiaritmia lain atau plasebo pada SCD, kematian dan kesan-kesan sampingan. Kami memasukan peserta dewasa berisiko tinggi atau yang sebelum ini telah mendapat serangan jantung, satu kepincangan tugas jantung yang serius dan boleh menyebabkan aritmia. Bukti adalah terkini sehingga Mac 2015.

Keputusan utama

Kami mendapati 24 kajian yang terdiri daripada 9,997 peserta. Dalam kalangan peserta yang berisiko tinggi, bukti menunjukkan bahawa amiodarone boleh mencegah SCD atau kematian berbanding dengan plasebo, dan ia mungkin lebih baik daripada ubat antiaritmia yang lain.

Sebaliknya, dalam kalangan peserta yang telah mengalami serangan jantung sebelum ini, adalah tidak pasti sama ada amiodarone dapat meningkatkan atau mengurangkan risiko episod serangan jantung yang baru atau kematian.

Tambahan pula, amiodarone boleh menyebabkan atau menerukkan lagi kesan buruk pada tiroid atau paru-paru, berbanding dengan plasebo atau ubat antiaritmia yang lain.

Kualiti bukti

Kualiti bukti keseluruhan kajian-kajian ini adalah rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Raymond Chieng Siang Ching (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi raymondchieng@gmail.com.

Tools
Information
Share/Save